TOKYO – Polis Jepun dibenarkan menggunakan raifal untuk menembak beruang setelah undang-undang senjata api yang ketat disemak semula untuk membantu pihak berkuasa menangani gelombang serangan maut yang turut mendorong kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tokyo mengeluarkan ‘amaran binatang buas’.
Seramai 13 orang terkorban akibat serangan beruang di seluruh Jepun sejak April lalu dengan insiden pertembungan dilaporkan hampir setiap hari termasuk beruang memasuki rumah penduduk, berkeliaran berhampiran sekolah dan mengamuk di pasar raya.
Kerajaan berusaha menangani peningkatan serangan itu yang menurut saintis-saintis, didorong oleh peningkatan populasi beruang serta hasil buah oak yang berkurangan pada tahun ini selain penurunan populasi manusia.
Wilayah Akita dan Iwate di utara Jepun di mana kebanyakan serangan berlaku, mengadakan upacara untuk polis rusuhan yang dibenarkan menggunakan raifal untuk menembak beruang.
Pegawai tempatan mengesahkan kepada AFP bahawa perubahan kepada peraturan senjata api mula berkuat kuasa mulai hari ini setelah diumumkan minggu lalu.
Media tempatan menyatakan, pistol yang digunakan polis Jepun kurang berkesan terhadap beruang kerana senjata tersebut tidak cukup kuat untuk membunuhnya.
Sementara itu, Kedutaan AS di Tokyo menyiarkan ‘amaran binatang buas’ di laman webnya semalam, memberi amaran kepada pelancong AS supaya mengelak berjalan bersendirian di kawasan di mana beruang pernah muncul atau menjauhi kawasan tersebut sama sekali. – AFP














