ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM200,000 kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).
Jelas belia, inisiatif khas kepada pengamal media itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperuntukkan lebih RM217 juta.
“BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.
“Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip “Setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat” serta semangat Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan BKJ mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.
Antara bantuan utama yang diumumkan ialah BKJ anak yatim negeri Johor, RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.
Selain itu, katanya, BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin, RM2,000 seorang untuk 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.
“BKJ Ibu Tunggal (YPKDT),RM500 seorang untuk 48,537 penerima dengan peruntukan RM24.27 juta.
“BKJ Petani, Penternak dan Nelayan, RM400 seorang untuk 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.
“BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis, antara RM600 setiap seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta,” katanya.-KOSMO! ONLINE














