fbpx
Satu mayat migran lelaki yang ditemui hanyut di perairan Langkawi, hari ini.

Bot karam: 25 mayat migran hanyut di perairan Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Lima lagi mayat migran lelaki ditemui hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa maut yang hanyut di perairan ini susulan insiden bot karam meningkat kepada 25 orang.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) yang memasuki hari keempat hari ini menemui dua mayat pada waktu pagi dan tiga lagi pada sebelah petang.

“Mayat pertama dijumpai terapung berhampiran Pulau Singa Besar pada pukul 10.10 pagi, diikuti satu lagi mayat lelaki dewasa di Selat Chincin berhampiran Pulau Anak Datai,” katanya di sini hari ini. Menurut beliau, pada sebelah petang bermula pukul 3.16 petang, dua mayat lelaki ditemui berhampiran Pulau Rebak Besar dan Tanjung Hulor oleh bot pasukan penyelamat.

“Selang beberapa minit kemudian, pesawat AW139 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan satu lagi mayat lelaki dewasa di laut, juga berhampiran Pulau Rebak Besar,” ujarnya.

Sementara itu, mangsa yang dijumpai selamat di perairan ini seramai 14 orang.

Terdahulu, seramai 200 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi carilamat hari ini.

Operasi tersebut turut melibatkan kekuatan 14 aset udara dan laut merangkumi aset milik Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Aset yang terlibat termasuk KM Siangin selaku On-Scene Coordinator (OSC), bot-bot APMM, aset udara CL415, bot PSC milik Pasukan Polis Marin, pesawat Beechcraft King Air 350 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM, kapal dan fast craft TLDM, helikopter AW139 JBPM serta bot Rigid Inflatable Boat milik APM.

Bagi memaksimumkan keberkesanan pencarian, sektor pencarian hari ini diperluaskan dengan keluasan merangkumi 329.67 batu nautika persegi melibatkan pembahagian kepada 14 sektor pencarian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI