KUCHING – Satu penemuan luar biasa direkodkan apabila kelawar spesies jarang ditemui Northern Free-tailed (Mops johorensis) dikesan di Imbak Canyon, Sabah serta Lubok Antu dan Gunung Penrissen di Sarawak.
Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan bersama berkata, spesies kelawar itu tidak pernah dijumpai di Borneo sejak pertama kali direkodkan pada 1873.
Sebelum ini Mops johorensis hanya diketahui wujud di Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Thailand. Penemuan itu bukan sahaja memperluas kawasan taburan spesies tersebut, malah menandakan pencapaian besar dalam kepelbagaian kelawar di pulau Borneo.
“Penemuan yang diterajui oleh penyelidik Unimas merupakan bukti kukuh kejayaan kerjasama rentas institusi dalam bidang sains biodiversiti,” katanya.
Penemuan baharu dan hasil penyelidikan seperti kajian morfologi, genetik dan akustik ke atas Mops johorensis amat bernilai dan menyumbang kepada pengetahuan baharu serta memperkukuh maklumat sedia ada yang penting bagi perancangan pemuliharaan.
Kajian itu melibatkan pasukan penyelidik Unimas, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan.
Sementara itu, Ketua Pasukan Penyelidik dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Unimas, Profesor Dr. Ts. Faisal Ali Anwarali Khan berkata, kejayaan itu menonjolkan kepentingan membuka peluang kepada penyelidik khususnya saintis dan universiti tempatan.
“Usaha ini menyokong inisiatif nasional dan global sejajar dengan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2050,” katanya.
SFC berkata, peranannya sebagai badan kawal selia utama dan kontroler memberi kebenaran untuk aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara bertanggungjawab di kawasan perlindungan.
“Sebagai penjaga kawasan perlindungan Sarawak, SFC perlu memastikan penemuan termasuk Mops johorensis tidak mengganggu habitat atau ancaman populasi kelawar tersebut,” katanya.
Unimas dan SFC turut menzahirkan harapan untuk mengembangkan dan memperkukuh kerjasama sedia ada bagi memastikan kelestarian dan kestabilan alam sekitar yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.














