fbpx
BARANGAN dipercayai berunsur khurafat yang dirampas termasuk batu dililit kain kuning dan kain hitam yang didakwa boleh memberi kekayaan.

Gudang jadi markas ajaran sesat cepat kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Penduduk di sekitar Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, di sini terkejut selepas mengetahui sebuah bekas gudang perabot di kampung itu dijadikan markas aktiviti ajaran sesat Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi.

Seorang penduduk, Masmadi Salam, 50, berkata, dia terkejut mendengar berita mengenai ajaran sesat berkenaan kerana tidak tahu langsung mengenai aktiviti di sebuah rumah berdekatan jalan raya masuk ke kampung itu.

“Sehinggalah hal ini dilaporkan media baru kami tahu rupa-rupanya tempat ini merupakan markas ajaran sesat yang belum pernah berlaku di kampung ini.

“Sepanjang masa penduduk lalu-lalang di hadapan kawasan itu yang jaraknya kira-kira 100 meter dari jalan raya dan ternam­pak kenderaan keluar masuk tetapi tidak mengesyaki apa-apa,” katanya di Kampung Sungai Putat di sini semalam.

Rakannya, Aslam Mustapa, 50-an, berkata, dia kerap kali melihat kira-kira lima sehingga lapan buah kenderaan masuk dan diletakkan di hadapan rumah berkenaan setiap hari sejak enam bulan lalu.

“Ia menjadi tanda tanya penduduk kerana mereka yang ma­suk ke kawasan itu merupakan orang luar dan tidak dikenali langsung malahan bukan penduduk kampung ini.

“Saya cuma menyangka kemungkinan mereka yang masuk ke rumah itu sebagai pekerja perusahaan kecil, namun tidak pernah melihat hasil keluaran perusahaan dibawa keluar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid al-Hidayah Sungai Tekam Utara, Anuar Mustakim berkata, dia turut terkejut kerana ketua kumpulan ajaran sesat Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi merupakan penduduk Felda Sungai Tekam Utara seperti yang dilaporkan akhbar.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana cepat bertindak menahan ketua dan pengikutnya sebelum ajaran itu disebarkan kepada penduduk yang bermotifkan mengejar kekayaan,” ujarnya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan, JAIP menahan ketua kumpulan ajaran sesat ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ berusia 45 tahun dan tujuh pengikutnya dalam serbuan di bekas gudang perabot di kampung tersebut.

Mereka didakwa mengamalkan ajaran solat jamak fardu dua rakaat untuk seumur hidup dan menggunakan objek seperti tongkat, kain kuning dan kain hitam yang didakwa boleh memberi ­kekayaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN