LONDON – Pengurus Aston Villa, Unai Emery menganggap pasukannya kini sudah menemui prestasi terbaik untuk kembali ke landasan tepat selepas menewaskan Bournemouth 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park malam kelmarin.
Villa memulakan musim ini dengan penuh berliku, gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan awal, namun kualiti dijelmakan pada perlawanan kali ini nyata sesuatu yang cukup berbeza.
“Pastinya saya gembira selepas kami memulakan musim ini agak teruk, namun sekarang ia bertambah baik. Ia memberikan mesej apa yang perlu kami penuhi, kena kekal konsisten dan terus bekerja setiap hari.
“Ia juga menjadi bulan yang hebat buat kami apabila mampu meraih mata dan mendapatkan keseimbangan. Sekarang kami akan berehat tetapi yang menggembirakan saya pastinya apabila melihat pasukan ini mula seimbang.
“Kami mahu terus tampil lebih baik, bina pasukan dan kami juga perlu bermain pada tahap tertinggi,” kata Emery.
Empat gol Villa dihasilkan oleh Emiliano Buendia, Amadou Onana, Ross Barkley dan Donyell Malen, malah penjaga golnya, Emiliano Martinez turut cemerlang menyelamatkan sepakan penalti bintang Bournemouth, Antoine Semenyo.
Dalam masa sama, Emery juga merasakan kemenangan ke atas Bournemouth malam kelmarin menjadi tanda aras paling tepat buat pasukannya bagi meneruskan cabaran pada perlawanan akan datang. – AGENSI














