PETALING JAYA – Pasangan beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong–Lai Pei Jing terus kempunan kejuaraan pertama musim ini selepas tewas 22-24, 18-21 kepada wakil tuan rumah, Kim Jae-hyeon–Jeong Na-eun dalam aksi final Korea Masters 2025, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan pilihan ketiga tersebut menamatkan saingan sebagai naib juara buat kali ketujuh musim ini, sekali gus masih mencari kemenangan sulung sejak mula digandingkan pada Mac lalu.
Jimmy-Pei Jing sebelum ini mara ke final selepas menewaskan gandingan Korea, An Yun-seong–Lee Yu-lim 21-14, 19-21, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Pusat Kebudayaan dan Sukan Universiti Wonkwang.
Setakat ini, mereka sudah tujuh kali muncul naib juara di pentas antarabangsa termasuk di Vietnam, Phuket, Reunion, Macau serta dua siri Indonesia Masters. KOSMO! ONLINE














