PETALING JAYA – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menyokong penuh tindakan tegas yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam membanteras pemandu lori haram dalam kalangan warga asing.
Ahli MKJR, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan pihak berkuasa itu menjalankan operasi bersama Jabatan Imigresen (JIM) wajar dipuji memandangkan isu warga asing memandu secara haram di jalan raya dilihat semakin berleluasa.
“Saya menyokong penuh langkah tegas yang diambil JPJ terhadap pemandu lori warga asing yang tiada lesen, cukai jalan dan insurans. Mereka ini ibarat ‘bom jangka’ yang boleh mengundang malapetaka jika berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemandu warga asing yang diupah oleh majikan termasuk syarikat konsesi kutipan sampah perlu diberi perhatian yang serius kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
“Sekiranya berlaku kemalangan, kesannya boleh menjadi sangat buruk kerana kebanyakan mereka tidak dilindungi insurans dan tidak layak memandu kenderaan berat,” katanya.
Lam Thye berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang menggajikan warga asing tanpa lesen sah bagi memastikan keselamatan di jalan raya terus terjamin.
“Pengusaha yang tidak bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan. Ini bukan soal keuntungan semata-mata, tetapi keselamatan nyawa orang ramai.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang sanggup menggadaikan nyawa orang lain demi keuntungan sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dilaporkan berkata, sebanyak 5,915 kesalahan membabitkan pemandu warga asing daripada syarikat pembersihan milik kerajaan negeri Selangor direkodkan sejak Januari hingga kini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain 1,729 notis arah periksa, 1,620 notis larangan penggunaan kenderaan, 154 notis temu siasat, 104 notis permintaan butiran pemandu dan 138 notis sita.- KOSMO! ONLINE.














