JOHOR BAHRU – Jurulatih Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky mengakui gol awal Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengubah keseluruhan rentak permainan skuad kendaliannya hingga tewas 1-3 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Jaringan Jonathan Silva seawal minit ketiga itu juga telah membuka ruang kepada pemain tuan rumah untuk terus membolosi gawang Shanghai Shenhua yang mula panik untuk meneruskan perlawanan.
“Gol pertama itu merupakan kesilapan kami sendiri, daripada situ pemain mula jadi kucar-kacir. Dalam mana-mana perlawanan pun, apabila dibolosi, mental akan jadi ‘down’.
“Lepas kena satu gol, kami ubah rentak permainan tetapi tuah tidak ada buat kami. Benteng mula roboh dan pasukan lawan memanfaatkan peluang ini sehingga kami bolos dua gol lagi,” katanya.
Dalam masa sama, Slutsky turut mengakui kelincahan Arif Aiman Mohd Hanapi menambahkan kesukaran buat pemainnya dan menyifatkan bintang Harimau Malaya itu sebagai antara pemain paling berbakat dalam kejohanan berprestij itu.
“Ia bukan soal hilang tumpuan, tetapi kerana pemain nombor 42 itu sangat berkemahiran tinggi, mungkin pemain paling berbakat dalam ACLE. Tahun lalu dia sudah menghadirkan perbezaan dan kali ini dia masih melakukan perkara sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














