Trip kali ini tidak ramai yang ikut kerana saya mementingkan mobiliti pasukan. Jadi, saya hanya berempat termasuk Razak, Faizal dan Sufian dengan bertemankan guide, Abang Bukhari serta Poja.
Kami tidak memperuntukkan masa yang terlalu lama di lokasi haruan tersebut, memadai dengan dua hari satu malam sahaja. Ini kerana tempat tersebut juga diketahui banyak populasi haiwan liar terutamanya gajah.
Tapak perkhemahan juga seringkas mungkin, kami hanya tidur dalam hammock berbumbungkan tarpaulin, Pastinya unggun api perlu dipasang sentiasa, tidak kira siang atau malam. Paling penting, jika ada kecemasan senang dan pantas untuk menyelamatkan diri.
Trekking
Dari jeti Pulau Banding, Temenggor, Perak kami menaiki bot dipacu guide menghulu ke Sungai Singor sehinggalah ke tempat yang tidak dapat dimudiki oleh bot kerana paras air sungai semakin cetek dan berbatu.
Dari sana pula, kami perlu trekking sejauh lebih kurang tiga kilometer naik ke atas untuk sampai ke kawasan haruan tersebut.
Guide yang sudah lama tidak ke sana juga sukar mengecam laluan kerana ia sudah tertutup dengan belukar banat. Agak lama merintis kawasan, barulah jumpa trek asal yang membawa kami terus ke lubuk haruan.
Ia merupakan beberapa kolam yang terbentuk akibat air Empangan Temenggor menjadi terlalu surut. Pada hari-hari yang paras air empangan tinggi seperti kebiasaan, kawasan ini tenggelam dan airnya dalam.
Jadi ketika air empangan surut, banyak spesies ikan terperangkap di dalam kolam-kolam ini.

Bagi ikan pemangsa seperti haruan, tempat ini menjadi syurga baginya kerana limpahan makanan yang terperangkap sama. Sebab itulah, populasi haruan di sini cepat sahaja menjadi tembam dan montel.
Terdapat tiga kolam utama, keluasan dan kedalaman air di setiap kolam-kolam ini juga berbeza.
Ada kawasan yang dalam dan ada tempat masih boleh diranduk kerana cetek.
Kawasan dasarnya dipenuhi reba-reba yang berupa tunggul pokok mati, ranting dan dahan kayu tenggelam. Namun, ada juga tempat yang dasarnya berpasir kosong dan air di perairan ini gelap serta sedikit keruh.
Basecamp
Kami tidak berani pacak basecamp terlalu hampir dengan kolam kerana haiwan liar juga selalu ke kawasan ini untuk minum air dan berendam bagi mengelak panas matahari di siang hari.
Selesai membina basecamp dan memasang unggun api, masing-masing sudah tidak sabar untuk mencari haruan.
Kami tidak bawa sebarang umpan hidup, hanya bersandarkan beberapa jenis gewang terutamanya soft plastic jenama Ozmy.
Dalam trip ini juga, kami mengambil kesempatan untuk menguji joran-joran terbaharu daripada NinjX iaitu Havox yang berkekuatan 8-17lb dan Black Vengeances (6-12lb).
Sebaik sampai di pinggir kolam, gewang permukaan dicuba terlebih dahulu, namun tiada langsung sambaran daripada mana-mana spesies ikan pemangsa. Kemudian gewang jenis minnow pula dicuba, keputusannya juga sama, sifar.
Merasakan ikan haruan mungkin merapat di perimeter dasar, terus soft plastic dilabuhkan.
Oleh kerana air di dalam kolam-kolam ini kelihatan gelap dan keruh, maka kami memilih untuk menggunakan soft plastic Ozmy Silencer Super Baby Paddle Pop warna Pikachu serta Lemon Guppy.

Untuk mata kail pula, kami sematkan soft plastic ke jighead Ozmy Thunder Strike yang bersaiz tujuh dan 10 gram (g). Ia tidaklah terlalu kecil hingga menyukarkan lontaran dan tidak terlalu besar hingga menakutkan ikan.
Kaedah sodok dasar
Awalnya, kami hanya lontar dan karau soft plastic secara terus tetapi langsung tiada sambaran. Lantas persembahan soft plastic dibuat secara kalis sangkut (weedless) dan kami cuba untuk menyeretnya di dasar, namun tiada haruan yang tergoda hingga membuatkan kami sangat kehairanan.
Saya mencuba cara terakhir, iaitu dengan mengarau soft plastic betul-betul perlahan hingga menerbitkan keladak di permukaan dasar kolam.
Barulah terasa ada getuan pada soft plastic, joran terus disembat, malangnya ikan terlucut pula.
Berdasarkan buih-buih halus yang timbul selepas ikan terlepas dari cangkuk mata kail jighead itu, saya tahu ikan tersebut sangat besar. Lantas soft plastic dihulurkan ke kawasan yang sama dan dimainkan dengan sangat perlahan.
Umpan bersambut dan kali ini saya membiarkan ia mengeman soft plastic lama sedikit sehingga kelihatan tali bergerak agak jauh barulah joran disembat.
Sebaik sahaja menyedari mulutnya tercangkuk mata kail, ikan terus memecut ke kawasan yang lebih dalam. Saya mengekang benamannya dengan sistem drag kekili Shimano Caius yang diketatkan. Sungguh kuat ikan ini hingga saya ingatkan ia toman, bukan haruan pada awal-awal pertarungan.
Apabila dapat menghela ikan ke tepi tebing, barulah drag dilonggarkan. Saya merasa sungguh
takjub hingga menggigil tangan sebaik mencapai mulut ikan dengan lip grip.
Ternyata, ikan haruan yang gadang saiznya. Saya sendiri sudah terlalu lama tidak melihat ikan haruan saiz sekasar ini.
Apabila sudah dapat teknik yang betul, masing-masing bergasak.
Tiada seekor pun haruan yang kami dapat saiznya kecil, berbelas ekor ikan yang diperoleh bersaiz monster. Kemungkinan haruan saiz kecil sudah menjadi makanan haruan-haruan yang besar ini.














