Walaupun tidaklah sangat membantu tetapi kami akan turun memancing ikan pendatang ini selepas pertandingan memancing selesai. Ini kerana, ikan yang dilepaskan bukan semuanya berjaya dipancing peserta. Pastinya, hasil tangkapan tidak akan kami lepaskan semula.
Kali ini, saya diajak Hafiz mencuba memancing keli Afrika berdekatan tali air Taman Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan.
Di lokasi ini terdapat rimbunan pokok buluh dan ada perahu yang diparkir di situ. Kelihatan buih-buih kecil menimbul di dalam air menandakan ada populasi ikan keli Afrika di tali air ini.
Umpan pilihan kali ini adalah cacing tanah, dan kami menggunakan mata kail saiz besar kerana target ikan keli bersaiz kasar.
Keli yang bijak
Beberapa minit kemudian, umpan mula dimakan ikan. Namun, cara makannya teramatlah perlahan dan tidak menimbulkan sedikit pun kesan buih yang selalu dibuat ikan keli sewaktu membaham umpan.
Hafiz mula mengarau tali yang kendur, tali tegang membuatkan ikan melepaskan umpan.
Kejadian sama berlaku beberapa kali selepas itu.
Rupa-rupanya, ikan keli di situ teramatlah sensitif pada tali pancing yang tegang.
Bagi mengatasi masalah ini, kami cuba mengendurkan tali setiap kali ada getuan, tetapi perkara sama tetap berlaku apabila ikan meluahkan kembali umpan.
Kemudian, kami cuba pula membuka bail arm kekili supaya ikan tidak terasa langsung tegangan sewaktu ia menjamah umpan, ternyata ia berkesan.
Ikan keli yang mengemam umpan akan membawanya dan boleh kelihatan tali pancing bergerak. Kemudian barulah ia menelan umpan tanpa was-was.

Melihat keadaan itu, Hafiz mengangkat perlahan jorannya dari pancang. Lalu, dia menutup bail arm kekili dan menunggu talinya tegang barulah melakukan sentapan.
Akhirnya, ikan keli itu tercangkuk juga ke mata kail.
Menggunakan kaedah yang sama, barulah kami berjaya mendapatkan keli Afrika seekor demi seekor.
Namun pada masa sama, banyak juga yang terlepas sama ada terbelit pada reba atau tali putus ketika sedang menaikkannya ke tebing.
Ikan bulan
Puas memancing keli Afrika, saya perasan ada menimbul buih kasar dan disusuli pula dengan tiga buih-buih kecil secara selari, kebiasaannya itu tanda kehadiran ikan bulan.
Menyedari keli mula kurang menjamah umpan, saya terus menukar target buruan kepada ikan bulan pula.
Rakan-rakan hanya memerhatikan saja gerak-geri saya memasang kelengkapan memancing ikan bulan. Saya tidak mengambil masa lama untuk melontarkan soft plastic ke arah sasaran.
Beberapa saat selepas soft plastic mencecah permukaan air, ia terus disambar.
Saya pun terus melakukan rentapan dan mujurlah ikan itu tidak melakukan lompatan sepertimana selalu dilakukannya apabila terkena mata kail.
Beberapa detik kemudian, ia berjaya ditewaskan.
Selepas itu, dari enam kali soft plastic saya dibedal ikan bulan, hanya dua ekor berjaya ditewaskan dan trip memancing kami tamatkan satu jam kemudian.
Semua tangkapan ikan keli Afrika kami bawa pulang sebagai juadah keluarga dan diharapkan ada kesedaran kepada mana-mana penganjur pertandingan memancing supaya tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan awam.
Alternatif terbaik adalah melepaskan spesies ikan tempatan sebelum pertandingan memancing berlangsung supaya dapat memulihkan perairan air tawar kita untuk generasi akan datang.














