KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah rumah pada Februari lalu.
Tertuduh, Mohd. Syamsul Ismail, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun semasa kejadian di sebuah rumah di Kampung Nara, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 5.50 pagi pada 11 Februari lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Che Hazim Che Hamat.
Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh, namun Che Hazim memohon agar anak guamnya diberikan jaminan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak membayar ikat jamin tersebut. – KOSMO! ONLINE















