GOMBAK – Seorang penduduk Kampung Batu 11, Gombak mendedahkan mengalami serangan jantung dua hari selepas menerima notis pengosongan daripada pihak berkuasa beberapa bulan lalu.
Abu Bakar Alang Mat Isa, 86 tahun, berkata, rumah yang didiaminya itu merupakan satu-satunya tempat berteduh sejak sekian lama, dan beliau tidak mempunyai tempat lain untuk dituju sekiranya kediaman itu dirobohkan.
“Kalau kami pindah, saya nak ke mana? Saya nak duduk mana? Rumah tak ada, pencen pun tak ada. Yang ada cuma rumah ni saja. Kalau rumah ni diroboh, ke mana saya nak pergi?” ketika ditemui Kosmo! di Kampung Batu 11, Gombak di sini hari ini.
Menurut warga emas itu, beliau dan penduduk kampung hanya mengharapkan belas ihsan pihak berkuasa agar diberi peluang terus tinggal di situ.
“Kami bukan minta duit, bukan minta apa-apa. Kami cuma minta kesenangan yang maksimum untuk kami. Kami dah tua, hanya minta pertimbangan,” katanya.
Mereka merayu agar tindakan tersebut ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada perbincangan dan pertimbangan kemanusiaan.
“Kami hanya harap ada timbang rasa. Kami sudah lama di sini, bukan perampas tanah. Ini rumah kami, tempat kami tua,” katanya.
Beberapa penduduk lain turut meluahkan rasa kecewa kerana tiada wakil rakyat turun padang bagi meninjau sendiri keadaan mereka sejak isu ini timbul. – KOSMO! ONLINE














