fbpx
IINTERAKSI Anwar dan Trump yang mendapat liputan global, membolehkan Malaysia menonjolkan imej negara yang berani dan berprinsip.

Malaysia tunjuk kemampuan, bina reputasi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menandakan kebangkitan baharu diplomasi serantau dan mengukuhkan imej negara sebagai pemacu kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi rantau ini.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia bukan sekadar tuan rumah yang cemerlang, tetapi peneraju utama dalam membentuk hala tuju baharu ASEAN yang lebih progresif dan inklusif.

Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Kosmo! Ahad, Rasdan Ahmad, pakar politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian menegaskan bahawa sidang kemuncak tersebut membawa mesej jelas kepada pelabur global bahawa ASEAN kini muncul sebagai blok ekonomi dan inovasi yang stabil serta berdaya saing.

Beliau berkata kepimpinan Anwar menjadi faktor utama kejayaan Perjanjian Kuala Lumpur Accord (KL Accord) yang memperkukuh kerjasama ekonomi digital, transformasi hijau dan agenda keamanan serantau.

Dr. Sivamurugam turut menyanjung gaya diplomasi Anwar yang berani dan berprinsip, khususnya dalam menyuarakan isu kemanusiaan seperti Gaza tanpa menjejaskan hubungan dengan kuasa besar dunia.

Pendekatan itu, katanya, meningkatkan soft power Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa kepimpinan berintegriti mampu membawa manfaat nyata kepada rakyat serta mengangkat semula reputasi negara di mata dunia.

Soft power merujuk kepada kebolehan untuk mempengaruhi tindakan pihak lain menerusi tarikan dan pujukan berbanding paksaan.

KOSMO! AHAD: Pada pandangan Prof. apakah mesej utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kepada pelabur ­global?
DR. SIVAMURUGAN: Kejayaan Sidang Kemunck ASEAN ke-47 menghantar mesej jelas bahawa rantau ini komited terhadap kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

ASEAN dengan penduduk melebihi 700 juta orang dan jumlah dagangan serantau sekitar AS$3.5 trilion (RM14.7 trilion) menawarkan pasaran yang ­besar dan dinamik untuk pelabur ­global.

Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan tersebut yang cekap dan berwibawa, menekankan bahawa negara ini mampu menjadi pemangkin kerjasama serantau.

Sidang kemuncak ini me­ningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi, sambil menegaskan bahawa ASEAN bukan sahaja sebagai pasaran tetapi juga pusat inovasi dan perdagangan serantau.

Apakah impak kepimpinan Malaysia pada sidang ini?
Sebagai tuan rumah, Malaysia menunjukkan kemampuan diplomasi yang tinggi, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemangkin utama kejayaan ini.

Beliau berjaya memacu konsensus ASEAN, menekankan kesungguhan Malaysia mempertahankan keupayaannya dalam arena serantau dan memastikan perbincangan summit membuahkan keputusan konkrit termasuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur Accord (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja yang bertelagah dalam isu sempadan kedua-dua negara.

Kejayaan ini membuka peluang pelaburan asing, meningkatkan hubungan perdagangan, dan secara langsung menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan.

Kepimpinan Anwar membuktikan bahawa seorang pemimpin bukan sekadar menyuarakan ­suara negara, tetapi mampu menjadi magnet keyakinan glo­bal yang menghasilkan kejayaan bersejarah.

Apakah peluang ekonomi digital dan transformasi hijau untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS)?
Integrasi ekonomi digital dan transformasi hijau membuka pelbagai peluang untuk PKS Malaysia menembusi pasaran ­serantau.

Dengan populasi ASEAN yang besar dan pertumbuhan e-dagang serantau dijangka mence­cah AS$300 bilion (RM1.2 tri­lion) menjelang 2025, PKS boleh memanfaatkan teknologi digital, fintech dan logistik pintar untuk memperkukuh daya saing.

Transformasi hijau pula memberi peluang kepada industri tempatan membangunkan produk mesra alam, menjadikan mereka lebih relevan dalam ekonomi global.

Kejayaan Malaysia memimpin agenda ini menonjolkan kesungguhan negara mempertahankan reputasi dan keupayaannya di pentas antarabangsa.

Bagaimana pula dengan implikasi perdagangan dengan kuasa-kuasa besar dunia?
Perjanjian yang dicapai dalam summit ini memperkukuh kedudukan ASEAN dengan kuasa besar seperti AS, China, dan Kesatuan Eropah (EU).

Malaysia berpeluang memperkukuh kedudukan dalam rantai nilai global bernilai tri­lion dolar, sambil mengekalkan keseimbangan geopolitik yang ­kritikal.

Kepimpinan Anwar memastikan Malaysia terus memainkan peranan sebagai penghubung strategik, sambil mengekalkan reputasi negara sebagai fasilitator yang dihormati dalam arena antarabangsa.

Cabaran Malaysia selepas kejayaan menjadi tuan rumah?
Walaupun Malaysia berjaya menjadi tuan rumah, cabaran utama adalah memastikan momentum ‘summit’ diterjemahkan kepada tindakan konkrit.

Malaysia perlu mengekalkan komitmen serantau, menguatkuasakan dasar bersama, dan mengekalkan keyakinan pelabur jangka panjang, sambil memastikan ekonomi domestik stabil.

Kesungguhan Anwar dan kredibilitinya sebagai pemimpin menjadi faktor penting dalam memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan momentum keyakinan global.

Bagaimana anda melihat tentang gaya politik Anwar dan imej Malaysia sepanjang sidang kemuncak ini berlangsung?
Gaya politik Anwar yang menekankan keadilan dan perhatian kepada isu dunia Islam memperkukuh imej Malaysia sebagai negara progresif, inklusif, dan berwibawa.

Pendekatan ini memberi kre­dibiliti yang tinggi di mata kuasa besar, sambil menunjukkan ­bahawa Malaysia mampu memainkan peranan sebagai pemimpin suara dunia Islam yang konstruktif.

Kesungguhan Anwar mempertahankan kepentingan Malaysia berulang kali mendapat pujian dunia luar.

Anwar tidak hanya menge­tuai Malaysia, beliau mengetuai naratif dunia Islam dengan kredibiliti, keberanian, dan reputasi yang dihormati global.

Apa yang Prof. lihat tentang keberanian Anwar membangkitkan isu Gaza?
Keberanian dan kesungguhan Anwar membangkitkan isu Gaza secara terbuka pada sidang ber­kenaan menandakan satu paradigma baharu dalam politik luar Malaysia.

Beliau kini dilihat sebagai jurucakap global berprinsip, yang mampu menyuarakan isu keadilan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik dengan kuasa besar.

Kesungguhan beliau dalam menegakkan nilai moral dan mempertahankan keupayaan Malaysia mendapat pujian dunia, menjadikan negara ini lebih menonjol di arena antarabangsa.

Dengan satu suara berprinsip, Anwar membuktikan Malaysia mampu memimpin bukan hanya dengan kuasa, tetapi dengan kredibiliti, integriti dan keberanian.

Implikasi terhadap domestik serta kejayaan di peringkat antarabangsa?
Kejayaan di pentas antarabangsa memberi nilai tambah kepada kepimpinan Anwar di dalam negara.

Ia memperkukuh keabsahan politik beliau dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan Malaysia dipimpin secara berwibawa.

Naratif ini menegaskan bahawa kepimpinan Anwar mampu membawa Malaysia ke pentas global tanpa mengorbankan kestabilan domestik, sambil ­menjadikan negara ini dihormati kerana pencapaian seperti KL Accord.

Setuju atau tidak jika dikatakan ini merupakan gaya diplomasi baharu Anwar mewakili Asia Tenggara?
Pendekatan Anwar menonjolkan model diplomasi Islam yang progresif dan tidak konfrontasional. Beliau mampu menyuarakan isu global dengan tegas sambil mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak.

Gaya ini meletakkan Malaysia sebagai negara yang bijak mengimbangi prinsip moral dan kepentingan strategik, sekaligus memperkukuh soft power serantau.

Kepimpinan Anwar yang konsisten dan kredibel menjadi inspirasi kepada diplomasi Asia Tenggara yang lebih progresif.

Antara yang menjadi tum­puan adalah momen Anwar dan Presiden AS, Donald Trump, adakah ini membuktikan soft power Malaysia?
Interaksi Anwar dan Trump yang mendapat liputan global, membolehkan Malaysia menonjolkan imej negara yang berani dan berprinsip.

Momen ini meningkatkan soft power Malaysia untuk me­mimpin naratif dunia Islam secara progresif, sambil memperkukuh kedudukan negara sebagai pemimpin konstruktif di pentas antarabangsa.

Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah dan antara tonggak perjanjian Kuala Lumpur Accord yang membawa mesej keamanan termasuk di Thailand dan Kemboja.

Anwar sebagai pemangkin utama memenuhi vakum jurucakap ASEAN, negara Islam dan negara membangun.

Di mata dunia, Anwar kini menjadi simbol Malaysia yang berwibawa, pemimpin yang bersuara lantang tetapi berstrategi, berprinsip tetapi berkesan dan sentiasa mempertahankan keupayaan negara yang berulang kali mendapat pujian global. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN