LIVERPOOL – Liverpool tidak mempunyai pilihan kecuali perlu mencatat kemenangan pada aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Crystal Palace di Anfield awal pagi esok.
Ia bukan sahaja untuk memastikan mereka mara ke suku akhir, tetapi perlawanan itu sangat penting untuk memulihkan maruah dan reputasi mereka yang sedang tercalar teruk selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Pengurus Liverpool, Arne Slot harus bijak untuk menangani tekanan hebat yang dihadapi ketika ini dan mencari jalan terbaik untuk mengatasi kelemahan pasukan itu selepas mengakui belum menemui cara untuk mengatasi gaya permainan hantaran jauh dan ‘low block’ pasukan lawan.
Pertahanan berpengalaman Liverpool, Andy Robertson lebih selesa untuk berterus terang apa yang perlu dilakukan bagi menukar situasi mencabar yang sedang dihadapi pasukan sekarang.
“Caranya cukup mudah, kami hanya perlu terus bekerja keras. Sama ada ketika latihan, perlawanan sebenar atau pun semasa proses pemulihan, kami kena melakukannya dengan baik.
“Apabila kami berada di kelab ini, semua orang mengharapkan keputusan terutamanya penyokong. Dalam situasi sukar, bekerja lebih keras berbanding sebelum ini menjadi satu-satunya cara yang perlu kami lakukan.
“Selepas mengharungi keputusan yang tidak begitu baik dalam perlawanan sebelum ini, hanya kami yang mampu mengeluarkan pasukan daripada situasi sekarang,” katanya.
Musim ini, The Reds sudah dua kali dikecewakan oleh Palace iaitu di pentas Perisai Komuniti dan liga sekali gus menuntut persembahan lebih baik bagi mengelak daripada alami hatrik kekalahan kepada lawan itu. – AGENSI














