TAMPIN – Seorang pesara guru, Hishamudin Abu Talib, 57, tidak menyangka perniagaan cendol yang diusahakan bersama isterinya, Norhasimah Ismail, 52, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Katanya, dia menjalankan perniagaan di bawah jenama Cendol Cikgu itu dijual di laluan Gemencheh-Batang Melaka di sini selepas bersara tahun lepas setelah berkhidmat selama 33 tahun dalam dunia pendidikan.
Ujarnya, jawatan terakhir sebagai Guru Kanan mata pelajaran Teknik Vokasional di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Taha di Gemencheh.
“Cendol yang dijual pada harga RM4 hingga RM6 itu terjual kira-kira 80 bekas sehari pada hari biasa dan mencecah 150 bekas dari Jumaat hingga Ahad.
“Kami bercita-cita untuk membuka kedai pula berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, kenalan dan juga pengguna jalan raya Gemencheh-Batang Melaka,” katanya, di sini kelmarin.
Ujarnya, dia tidak kekok berniaga selepas bersara memandangkan pernah berbuat demikian sebelum menyambung belajar di maktab perguruan dengan berniaga air batu campur selama tiga tahun di Pekan Gemencheh.
Kataya, apabila bergelar guru, masa cukup terhad untuk membuat perkara lain.
Sementara itu, Norhasimah berkata, bagi menyokong minat suaminya berniaga setiap hari bermula pukul 10.30 pagi itu, dia bertungkus-lumus menyiapkan 10 kilogram isi cendol serta bahan-bahan lain.
Katanya, masanya agak terhad kerana masih bertugas sebagai ustazah di sebuah sekolah rendah agama di Melaka, namun disebabkan minat berniaga serta merupakan anak penjual cendol, dia sanggup membuatnya pada waktu malam.















