fbpx
Robotaxi Zoox oleh Amazon ini direka tanpa depan atau belakang bagi memudahkan berpatah balik.

Teksi tanpa pemandu ciptaan Amazon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN kenderaan autonomi (pintar tanpa pemandu) kerap dilihat muncul dalam filem bagi menggambarkan tentang pembangunan teknologi yang penuh dengan kecanggihan.

Karya seperti I, Robot; Blade Runner 2049 dan Total Recall boleh dijadikan antara contoh pengaruh ideologi mobiliti pintar yang sentiasa dianggap sebagai simbol revolusi masa depan.

Terkini, syarikat gergasi teknologi dunia, Amazon turut melangkah ke arah itu dengan melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu atau ‘robotaxi’, Zoox.

Di bawah kendalian anak syarikatnya iaitu Zoox, ‘robotaxi’ milik Zoox itu mula diperkenalkan sekitar September lalu di bandar Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) sebagai kenderaan elektrik autonomi sepenuhnya tanpa pemandu dengan ciri rekaan futuristik.

Robotaxi Zoox itu diuar-uarkan sebagai robot teksi pertama di dunia dengan tujuan penggunaan teksi sepenuhnya untuk kegunaan orang awam, tidak berbentuk seperti kereta konvensional.

Kewujudan ‘robotaxi’ membuktikan Amazon optimis dalam mengembangkan kemahiran teknologinya seiring kehendak pasaran.

Teruja meraikan kejayaan Zoox, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aicha Evans meluahkan harapan agar teknologi terbabit dapat menjadi ‘masa depan’ baharu terutama dalam bidang pengangkutan dan pelancongan.

“Kami sangat teruja membawa Zoox kepada orang ramai di bandar Las Vegas. Ini merupakan satu pencapaian besar ke arah visi untuk menjadikan mobiliti autonomi lebih selamat, mudah diakses dan lestari untuk semua.

“Kenderaan sebegini juga memberi manfaat kepada industri pelancongan kerana mampu bergerak ke mana sahaja pada bila-bila masa,” katanya memetik laporan CNBC.

Robotaxi yang dibangunkan Zoox menggunakan gabungan teknologi kamera, radar dan LiDAR (light detection and ranging) untuk memantau persekitaran dalam radius 360 darjah.

Ia dilengkapi 28 kamera yang berfungsi merakam imej dan pergerakan objek sekeliling serta sensor lapan radar.

Sensor LiDAR menghasilkan peta tiga dimensi (3D) dalam menentukan kedudukan kenderaan, pejalan kaki dan halangan di laluan secara masa nyata.

Menurut Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Zoox, Jesse Levinson, ciri keselamatan robotaxi membuatkan kenderaan tersebut selamat untuk digunakan.
Katanya sistem kecerdasan buatan (AI) dapat menganalisis data laluan, lampu isyarat dan tingkah laku pengguna jalan raya dalam tempoh masa kurang daripada satu saat.

“Kenderaan dapat berhenti, memecut, mengelak halangan dan memilih laluan paling selamat secara efisien.

“Dikuasakan secara elektrik sepenuhnya dengan bateri besar ditempatkan pada bahagian bawah (lantai), kenderaan direka secara simetri dua arah tanpa penetapan mana depan atau belakang.

“Rekaan sebegini membolehkan kenderaan bergerak mengikut arah bersesuaian tanpa perlu berpatah balik dan sesuai untuk jalan bandar yang sempit dan sesak,” kata Levinson.

Rekaan futuristik seperti kapsul moden membolehkan empat penumpang saling duduk berhadapan dengan selesa dan dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan pintar.

Ujar Levinson, tali pinggang keselamatan pintar (smart safety belt) dalam robotaxi Zoox direka khas untuk kenderaan tanpa pemandu yang dilengkapi dengan sistem keselamatan automatik.

Mampu bertindak berdasarkan sensor tanpa arahan manusia, tali pinggang keselamatan turut berfungsi seperti beg udara digital yang memberi perlindungan menyeluruh kepada penumpang.

“Setiap tempat duduk mempunyai tali pinggang keselamatan tiga titik (3 point harness) yang direka khas untuk memberi perlindungan menyeluruh, sama ada kendaraan bergerak ke hadapan atau ke belakang.

“Setiap tali pinggang disepadukan dengan sensor inersia, jadi sistem itu tahu arah hentakan dan boleh mengetatkan tali pada arah yang betul,” katanya.

Beberapa individu dilihat telah mencuba menaiki teksi tanpa pemandu, Zoox di sekitar Las Vegas, Amerika Syarikat.

Bagi melindungi keselamatan penumpang juga, setiap robotaxi Zoox disambungkan dengan pusat kawalan yang dihubungkan ke pusat kawalan berasaskan awan (cloud control center) milik Amazon.

Pusat pemantauan berfungsi untuk memantau setiap perjalanan dan boleh mengambil alih kawalan sekiranya berlaku situasi luar jangka seperti kemalangan atau halangan.

“Brek automatik kecemasan akan berfungsi secara automatik sekiranya sistem mengesan ada halangan laluan mahupun pejalan kaki.

“Kawalan suhu automatik dalam kabin pula dapat memastikan keselesaan penumpang dan sistem kecemasan akan diaktifkan jika ada kerosakan dalam kabin,” ujarnya.

Meskipun sudah dilancarkan secara rasmi pada September lalu, namun robotaxi masih dalam fasa percubaan dan hanya digunakan di laluan tertentu sahaja di Las Vegas secara percuma.

Bagaimanapun, Zoox tidak menolak untuk menggunakannya secara komersial dalam tempoh masa terdekat.

Selain kenderaan tanpa pemandu diperkenalkan Zoox, sebenarnya teknologi mobiliti teksi tanpa pemandu telah diperkenalkan China sebelum ini, namun China masih menggunakan kereta fizikal sebenar.

Dibangunkan oleh syarikat teknologi gergasi China, Baidu, sistem pemanduan tanpa pemandu bernama Apollo Go telah digunakan secara komersial di negara itu sejak 2021.

Sambutan hangat membuatkan penggunaan sistem tersebut semakin mendapat perhatian bukan sahaja di wilayah Beijing (laluan Yizhuang), tetapi turut memenuhi permintaan di beberapa kawasan lain seperti Wuhan, Chongqing dan Shenzhen.

Berbeza dengan kenderaan robotik Zoox, Apollo Go merupakan sistem yang lengkap dengan sensor LiDAR dan kamera AI disambungkan ke pusat kawalan awan (cloud) Baidu Cloud.

Alat tersebut akan dipasangkan pada kenderaan kereta fizikal biasa untuk diubah menjadi autonomi (tanpa pemandu), sekali gus mengikut ketetapan yang telah diprogram oleh data.

Kata Naib Presiden Kanan Baidu & Ketua Unit Pemanduan Autonomi, Zhenyu Li, Apollo Go kini telah memasuki fasa operasi berskala besar dan bersedia untuk ‘menawan’ pasaran dunia.

“Kami telah membuktikan tahap keselamatan dan kepercayaan terhadap teknologi pemanduan autonomi dalam persekitaran bandar sebenar setelah beberapa tahun melakukannya secara komersial.

“Jadi, sistem ini bukan sekadar digunakan warga setempat (China) sahaja kerana saya percaya teknologi sebegini sudah bersedia untuk ‘mendunia’ dan turut digunakan oleh negara lain,” ujarnya.

Tertarik dengan teknologi tersebut, syarikat pengangkutan awam Switzerland, PostBus berminat untuk menggunakan teknologi Apollo Go dalam sistem pengangkutan mereka.

Dalam satu kenyataan, PostBus bersedia untuk melakukan uji pandu terhadap kenderaan dengan sistem terbabit selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Memetik South China Morning Post, Baidu dan PostBus merancang untuk melancarkan operasi tetap AmiGo pada suku pertama 2027.

“Para penumpang di kawasan liputan dapat membuat tempahan kenderaan persendirian atau perkongsian autonomi melalui perkhidmatan AmiGo.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan PostBus untuk meningkatkan mobiliti pintar di Switzerland, menambah rangkaian pengangkutan awam sedia ada dan menyumbang kepada reputasi negara,” kata Pengurus Besar Perniagaan Luar Negara Baidu, Zhang Liang.

AmiGo di Switzerland akan menggunakan kenderaan autonomi generasi keenam Baidu iaitu RT6 yang mana kenderaan tersebut mampu membuat navigasi persekitaran bandar yang kompleks secara autonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN