KEMAJUAN segmen robot humanoid semakin pesat dengan kemunculan model baharu yang bersaing untuk mendapat tempat di dalam pasaran.
Melihat kepada harga, mungkin ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak mampu untuk memiliki robot humanoid sendiri memandangkan seunit boleh mencecah harga puluhan hingga ratusan ribu dolar atau ringgit.
Namun begitu, China sekali lagi mencuri tumpuan dunia teknologi apabila sebuah syarikat tempatan, Noetix Robotics, memperkenalkan model robot humanoid terbaharu mereka dinamakan Bumi yang juga digelar sebagai ‘world’s cheapest high-performance humanoid robot’.
Menurut jurucakap dari Noetix Robotics, dengan harga hanya sekitar AS$1,540 (RM6,500), Bumi menandakan lonjakan besar ke arah menjadikan robot humanoid mampu dimiliki oleh orang ramai, bukan hanya oleh institusi penyelidikan atau syarikat besar.
“Bumi direka dengan ketinggian 94 sentimeter dan berat sekitar 12 kilogram. Saiznya yang kecil menjadikannya sesuai untuk kegunaan rumah, sekolah, makmal pendidikan dan ruang kerja kecil.
“Walaupun bentuknya lebih padat berbanding humanoid lain yang biasanya bersaiz manusia dewasa, pihak kami menekankan bahawa Bumi tetap mempunyai sistem gerakan dua kaki (bipedal walking) yang stabil dan boleh melakukan pergerakan kompleks seperti menari dan berinteraksi dengan objek,” katanya kepada media tempatan di China.
Jelasnya, Bumi bukan sekadar robot demonstrasi, tetapi platform pembelajaran dan eksplorasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta kejuruteraan robotik.
Diperbuat daripada bahan komposit ringan, robot ini dikuasakan oleh sistem kawalan pergerakan proprietari yang dibangunkan sendiri oleh syarikat tersebut.
Ia turut dilengkapi dengan antara muka terbuka (open programming interface), membolehkan pengguna sama ada pelajar, pembangun hobi mahupun institusi pendidikan untuk menulis kod atau memprogramkan gerakan serta tindak balas tersendiri.
Kongsinya lagi, selama ini, pasaran robot humanoid dikuasai oleh model berharga tinggi. Sebagai contoh, syarikat China lain seperti UBTech dan Unitree memperkenalkan model humanoid bersaiz manusia dengan harga mencecah AS$14,300 (RM60,000) hingga AS$45,000 (RM190,000).
Oleh itu, kehadiran Bumi dengan tanda harga sekitar RM6,500 benar-benar mengejutkan industri dan ia kira-kira 90 peratus lebih murah berbanding model konvensional yang lain.
Menurut pemerhati industri, Noetix berjaya menurunkan kos dengan menggunakan pendekatan pengeluaran berskala besar, reka bentuk modular dan bahan ringan yang murah tetapi tahan lama.
Ini bukan sahaja menjadikan robot lebih mudah dihasilkan, malah menandakan kematangan teknologi robotik China yang kini mampu bersaing dari segi kos, reka bentuk dan prestasi.
“Pelancaran Bumi juga dianggap simbol kepada mendemokrasikan robotik humanoid iaitu proses menjadikan teknologi canggih lebih mudah diakses oleh orang awam.
“Selama bertahun-tahun, robot humanoid dianggap hanya sebagai alat eksperimen di makmal universiti atau pusat penyelidikan besar, namun dengan kemunculan Bumi, senario itu berubah,” ujar Noetix Robotics.
Katanya lagi, kini, robot dengan rupa dan pergerakan menyerupai manusia itu boleh dimiliki untuk kegunaan pembelajaran di sekolah, makmal robotik komuniti atau sekadar platform eksperimen di rumah.
Malah, terdapat potensi besar untuk robot seperti ini digunakan dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di mana pelajar boleh belajar tentang pengaturcaraan, sensor, AI dan mekanik pergerakan secara praktikal.

Dengan harga yang mampu milik, sekolah dan institusi latihan teknikal di serata dunia kini berpeluang memiliki robot sebenar untuk dijadikan alat pembelajaran.
Berbanding model humanoid lain seperti Unitree G1 (berharga sekitar RM64,000) atau UBTech Walker S (sekitar RM190,000), Bumi mungkin kelihatan jauh lebih ringkas.
Namun, objektifnya berbeza. Jika robot premium direka untuk tugasan industri atau logistik, Bumi disasarkan untuk pendidikan, penyelidikan asas dan interaksi sosial ringan.
Dengan kemampuan berjalan, bercakap, menari dan menerima input perintah suara, ia lebih menyerupai gabungan antara robot pembantu dan platform pembelajaran pintar.
“Selain itu, dengan sistem perisian terbuka, Bumi memberi peluang kepada pembangun bebas untuk mencipta fungsi baharu daripada ekspresi muka hingga kepada integrasi dengan sistem AI seperti ChatGPT atau sistem computer vision.
“Dalam jangka panjang, ini boleh mewujudkan ekosistem komuniti pengguna global yang terus memperkaya keupayaan robot tersebut,” jelasnya.
Seperti mana-mana inovasi baharu, Bumi juga berdepan beberapa cabaran utama, antaranya ketahanan fizikal dan prestasi jangka panjangnya perlu dibuktikan melalui penggunaan sebenar.
Walaupun ia mampu berjalan dan menari dalam demonstrasi, kemampuan mengimbangi diri di permukaan tidak rata atau bertindak balas terhadap sentuhan masih perlu diuji.
Aspek keselamatan dan privasi juga menjadi perhatian. Jika robot digunakan dalam persekitaran rumah atau sekolah, data rakaman audio dan video perlu dilindungi daripada penyalahgunaan.
Selain itu, sokongan selepas jualan dan penyelenggaraan turut penting untuk memastikan pengguna tidak berdepan kesukaran apabila berlaku kerosakan atau kemas kini sistem.
Terdapat juga persoalan kegunaan praktikal berhubung kegunaan Bumi sama ada hanya berfungsi sebagai alat demonstrasi atau boleh benar-benar membantu tugasan asas di rumah seperti mengingatkan jadual, meneman kanak-kanak atau menjadi alat pembelajaran interaktif.
Menjawab persoalan itu, Noetix Robotics memberitahu ia bergantung kepada sejauh mana perisian dan AI dalam sistem tersebut akan dibangunkan oleh komuniti pengguna.
Pelancaran Bumi tidak datang secara kebetulan. China kini sedang giat memperkukuh kedudukan sebagai kuasa besar robotik dunia, dengan sokongan pemerintah terhadap automasi dan AI.
Negara itu menyasarkan untuk meningkatkan penggunaan robot humanoid dalam industri, perkhidmatan, malah dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2030.
Kehadiran model seperti Bumi menunjukkan bahawa matlamat tersebut sedang bergerak ke arah realiti. Dengan kemampuan menawarkan teknologi canggih pada kos yang rendah, China sekali lagi menunjukkan kelebihan besar.
Jika robot seperti Bumi berjaya diterima di pasaran global, ia berpotensi membuka ruang kepada gelombang baharu dalam industri iaitu era robot humanoid untuk semua.















