Saudara Pengarang,
Masalah banjir kilat susulan hujan lebat yang berlaku di Kampung Bugis, Batu 6, Penerok, Pontian, Johor bukan perkara baharu dan ia telah menghantui penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Terbaharu, banjir melanda kampung tersebut pada 19 Oktober lalu menyebabkan seramai 81 mangsa terdiri daripada 23 keluarga di Kampung Bugis, Batu 6, Penerok, Pontian, Johor terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok.
Ini bukan kali pertama banjir berlaku di kawasan tersebut dan penduduk seolah-olah sudah terbiasa dengan masalah tersebut.
Punca air mudah naik di kediaman penduduk adalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan rumput tebal yang menyekat
aliran air dengan cepat.
Biarpun hujan hanya sejam, rumah-rumah penduduk kampung yang berada di kawasan rendah akan digenangi air banjir dengan cepat.
Sudah banyak kali masalah tersebut diadukan kepada pihak berwajib tetapi tiada sebarang tindakan lanjut diambil bagi mengatasinya.
Diharapkan pihak-pihak terbabit dapat turun padang setiap kali banjir melanda bagi merasai sendiri jerit perih penduduk yang terpaksa menghadapi banjir yang seperti tiada kesudahan.
Penduduk kini semakin bimbang berikutan musim tengkujuh bakal melanda negara ini tidak lama lagi, manakala negeri Johor tidak terlepas daripada bencana alam ini.
Yang terkilan
Pontian, Johor














