KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan penghargaan kepada Malaysia yang menjadi ‘orang tengah’ dalam usaha perdamaian di antara Thailand dan Kemboja.
Trump berkata, Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu kedua-dua negara untuk berbincang sekali gus menyelamatkan jutaan nyawa.
“Hari ini adalah adalah hari bersejarah bagi semua rakyat Asia Tenggara menyaksikan perjanjian bersejarah untuk menamatkan konflik antara Kemboja dan Thailand. “Kami (AS) sangat berbesar hati untuk terlibat dalam perkara ini dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin (Kemboja dan Thailand) kerana berani mengambil langkah besar ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Kemboja-Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEA ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Menurut Trump, beliau sebelum ini telah menelefon Anwar berhubung konflik dan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand bahawa terdapat keperluan untuk Malaysia memainkan peranan sebagai pihak yang neutral.
“Saya kata padanya bahawa jika perkara itu dapat diselesaikan, saya akan datang ke Malaysia dan saya berkata benar kerana selalunya jika seseorang berkata begitu, itulah kali terakhir anda melihat mereka.
“Namun, saya percaya saya mempunyai tanggungjawab untuk datang dan kedua-dua pemimpin mempunyai rasa hormat yang besar antara satu sama lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














