TANGKAK – Seorang bapa tidak menyangka lambaian ketika terserempak anak lelaki di luar pekarangan Kolej Komuniti Ledang di sini menjadi petanda anak bongsunya pergi menghadap Ilahi buat selamanya, semalam.
Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19, meninggal dunia di Hospital Tangkak ketika mendapatkan rawatan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat di sini, malam semalam.
Dalam nahas pada pukul 10.55 malam, turut terbunuh ialah rakannya, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain, 20, serta pasangan kekasih, Sky Chang Ji Shiang, 20, dan teman wanitanya, Pang Chong Chong, 18. Bapa Muhammad Darwish, Kamarul Hafiz Jaafar, 51, berkata, dia terserempak dengan anaknya ketika pulang mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan kira-kira 11 pagi.
“Semalam saya terserempak dia (Muhammad Darwish) di luar kolej tempat dia belajar, dia lambai-lambai, saya kata dalam hati kenapa budak ni.
“Dia naik motosikal masa itu, dia potong kereta saya lepas itu dia lambai-lambai lagi, tak sangka itu lambaian tanda dia nak pergi buat selamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Tangkak di sini hari ini.
Muhammad Darwish merupakan anak bongsu daripada tiga beradik merupakan pelajar semester kedua Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara, di Kolej Komuniti Ledang di sini.
Kamarul Hafiz berkata, dia mendapat berita duka itu selepas majikan tempat anaknya bekerja menghubunginya dan memaklumkan anaknya itu terlibat dalam kemalangan.
Jelasnya, dia hanya menyangkakan anaknya itu hanya kemalangan biasa tetapi rupanya cedera parah.
“Kali terakhir saya jumpa dia waktu maghrib, ketika dia balik rehat dari kedai gunting tempat dia bekerja, dia kerja sambilan sebagai tukang unting, masa itu dia cakap abah Darwish nak keluar makan dengan kawan dekat bandar Tangkak.
“Semasa kejadian, Muhammad Darwish dan kawan dia (Muhammad Alauddin) dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, jarak kemalangan dengan rumah dekat sahaja, dalam 300 meter.
“Tapi saya reda dengan ketentuan Ilahi, ambil anak saya, semoga dia tenang di sana,”katanya.-KOSMO! ONLINE














