SELEPAS dikejutkan dengan berita Nubhan menceraikan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, menyusul pula kisah si cantik Uqasha memfailkan cerai terhadap suaminya, Kamal Adli.
Kisah rumah tangga pasangan pelakon popular itu berantakan sudah lama berkompang bahkan ramai boleh ‘tangkap’ ada masalah daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Uqasha sebelum ini.
Kalau sudah muncul kisah cerai-berai, ramailah jaguh ‘terpaling’ muncul sebagai pengulas baik dalam kalangan netizen mahupun penggiat seni.
Namun, saya tertarik dengan perkongsian pelakon Raja Ilya yang kini menetap di negara kanggaru. Antara kata-katanya, “Kalau memilih untuk terus bertahan, kena tahu fasa selepas anak pertama bukan mudah.”
Secara peribadi saya bersetuju dengan apa yang ditulis Raja Ilya. Dugaan sebenar pasangan suami isteri bermula selepas lahirnya anak pertama.
Di sebalik rasa teruja dan gembira pertama kali bergelar ibu bapa, banyak perkara baharu bakal dilalui dan belajar pada fasa ini.
Baik suami mahupun isteri kena saling bekerjasama. Maklum sahajalah ini pengalaman perdana meski ketika bayi dalam perut kita sudah bersedia itu ini. Hakikatnya untuk menguruskan anak kecil bukan mudah.
Ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit dan semestinya kesabaran tinggi daripada kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi soal berjaga malam dan tatkala si comel diuji dengan demam dan penyakit lain. Tangisannya boleh buat kita tidak keruan jadinya bahkan mungkin turut sama melalak dan tertekan jika hati tak cukup kental.
Kadang-kadang soal siapa perlu bangun tidur untuk salin lampin pakai buang dan bancuh susu pun boleh jadi punca bergaduh suami isteri. Ya, semudah itu.
Bukan kerana tidak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing tetapi barangkali terlalu penat khususnya buat pasangan yang kedua-duanya bekerja. Maka, ada yang secara sengaja atau tidak sengaja mengelat dan meninggalkan satu tanda rasa tidak enak di hati pasangan apabila perlu bangkit menguruskan si kecil.
Di sinilah pentingnya komunikasi dan persefahaman antara pasangan. Kadang nampak kecil tapi boleh jadi api yang membakar dari dalam jika tidak dikawal, seterusnya mencambah benih masalah lebih besar dalam perhubungan.
Perkahwinan bukan mengenai cinta semata-mata tetapi bagaimana pasangan saling melengkapi dan berjuang untuk terus mempertahankan hubungan itu.
Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Justeru itu, jangan meletakkan kesempurnaan sebagai kayu ukur dalam perhubungan sebaliknya gunakan kelebihan yang ada pada diri masing-masing untuk menutupi kelemahan pasangan.
Jika ada timbang rasa, kerjasama dan saling menerima, insya-Allah Bahagia.















