fbpx
Fahmi. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

MCMC kenal pasti individu tular berita palsu penutupan sekolah pondok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengenal pasti individu yang terlibat menularkan berita palsu kononnya Kerajaan Persekutuan mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak MCMC akan mengambil tindakan terhadap individu yang didapati terbabit menyebarkan berita palsu itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Semalam saya telah dimaklumkan mengenai satu berita palsu yang telah tular di media sosial mendakwa kononnya pihak kerajaan berhasrat untuk menutup sekolah-sekolah pondok yang tidak berdaftar di Kedah dan Kelantan. “Menteri Agama telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut dan aduan juga telah dipanjangkan kepada pihak MCMC untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam menghasilkan dan menyebarkan berita palsu ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan kandungan berita palsu yang disebarkan menerusi media sosial.

Terdahulu, menerusi laman Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Persekutuan atau jabatan di bawahnya mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar.

Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI