KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini tidak diadakan di Putrajaya berikutan isu logistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, infrastruktur termasuk dewan-dewan adalah baik, tetapi kemudahan hotel di Putrajaya tidak mencukupi untuk menampung keperluan.
“Ada persoalan tentang mengapa (Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) tidak (diadakan) di Putrajaya… kerana logistik tidak cukup. Dewan (di Putrajaya) baik, tetapi kemudahan hotel tidak cukup untuk menampung keperluan. Beberapa negara seperti China dan Amerika Syarikat kalau datang ambil satu hotel, bukan ambil tiga lantai. Dua orang sudah dua hotel maka tidak cukup. Jadi dibuat di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan pengalaman kita pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), saya rasa kita berupaya lakukan yang sebaiknya. Insya-Allah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berhubung senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian.
Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon daripada Modi malam tadi yang memberitahu ia berikutan perayaan Deepavali yang masih diraikan di negara itu ketika sidang berkenaan diadakan.
Anwar berkata, beliau menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada Modi serta seluruh rakyat India.
Tambahnya, beliau dan Modi turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh. – KOSMO! ONLINE














