GOA – Impian peminat bola sepak India untuk melihat aksi bintang ternama dunia, Cristiano Ronaldo di depan mata mungkin tidak kesampaian selepas direhatkan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Al Nassr menentang FC Goa di Stadium Fatorda malam esok.
Meskipun tiada pengesahan rasmi daripada kelab gergasi Liga Pro Arab Saudi itu, statistik musim ini menunjukkan bahawa khidmat Ronaldo tidak diperlukan oleh barisan kejurulatihan apabila disisihkan dalam dua aksi kumpulan ACL2.
Malah, pengendali Al Nassr, Jorge Jesus menyifatkan pasukannya masih memiliki ramai pemain untuk beraksi dalam kejohanan elit kedua peringkat Asia itu selain Ronaldo.
“Ronaldo adalah pemain paling terkenal tetapi dia juga perlu berehat dan kita mengharungi jadual yang cukup padat ketika ini. Saya buat keputusan untuk memberinya rehat yang cukup sesuai dengan faktor usia 40 tahun ketika ini,” katanya.
Sementara itu, pengurusan FC Goa mengakui sudah bersiap sedia jika Ronaldo membuat ‘pusingan U’ beraksi apabila memberi jaminan keselamatan kepada Al Nassr dengan sokongan penuh daripada pihak berkuasa tempatan.
Namun, jurucakap FC Goa mengakui kemungkinan besar Ronaldo tidak hadir atas beberapa sebab yang tidak didedahkan.
“Kami menunggu maklum balas Al Nassr bagi tujuan keselamatan tetapi masih tiada jawapan.
“Jujurnya saya rasakan Ronaldo tidak akan terbang bersama pasukan kerana dia baru pulang daripada mewakili Portugal dan beraksi 90 minti dalam saingan domestik, Sabtu lepas,” kata jurucakap tersebut. – AGENSI














