fbpx
SUBBAROW menggesa semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam membanteras penggunaan vape.

‘Vape bukan soal perniagaan tetapi nyawa anak kita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU vape atau rokok elektronik (e-rokok) semakin membimbangkan apabila trend penggunaannya bukan sahaja meningkat dalam kalangan remaja, malah kanak-kanak sekolah rendah turut terjebak dalam pengambilannya.

Bagi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), penganjuran program pendidikan di sekolah-sekolah antara usaha yang dijalankan pihak terbabit bagi mengenal pasti kumpulan pengguna dan punca pengambilan sekali gus menyebarkan maklumat mengenai risiko vape terhadap kesihatan diri.

Selain daripada itu, pelbagai usaha bagi mengekang penjualan dan penggunaannya juga telah dilaksanakan CAP sejak bertahun-tahun lamanya termasuk mendesak pihak berkuasa mengharamkan penjualan di negara ini dalam kadar segera.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, NOOR HASLIZA NUSI dan jurugambar, DANIAL SAAD bersama Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow bagi mengupas isu tersebut di pejabatnya di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah pendirian CAP apabila melihat isu vape atau e-rokok yang sema­kin menular ketika ini, masih belum dapat ditangani secara keseluruhannya?
SUBBAROW: Kita mempu­nyai pendirian jelas iaitu vape mesti diharamkan sepenuhnya di seluruh negara. Kita bercakap soal nyawa kanak-kanak dan masa depan negara.
Vape bukan sekadar wap air, tetapi sudah menjadi perangkap senyap yang mengandungi dadah sintetik seperti methamphetamine, ekstasi dan fentanyl.

Tinjauan CAP membuktikan bilangan perokok semakin berkurangan dan penggunaan vape dan e-rokok dalam kala­ngan murid sekolah dan belia semakin meningkat dari hari ke hari. Ini termasuklah wanita muda yang menggunakan vape.

Bayangkan, semasa program ceramah CAP mengenai bahaya vape, rokok dan e-rokok, ramai kanak-kanak seawal usia lapan tahun boleh menerangkan de­ngan jelas nama-nama perisa termasuk jenis jus yang ada. Ia bukan lagi sesuatu yang rahsia.

Mengapa CAP begitu mendesak pengharaman secara menyeluruh dan bukan kawalan secara berperingkat?
Ini kerana, sudah nampak jelas kesan keburukannya. Pengambilan vape dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah semakin tidak terkawal. Ramai yang mula ketagih seawal usia lapan tahun.

Malah, ada yang menghisap vape sebelum masuk kelas atau menggantikan sarapan pagi de­ngan cecair vape. Kalau kerajaan hanya haram­kan sistem terbuka dahulu, masalah tetap berulang. Vape mesti diharamkan sepenuhnya, bukan separuh jalan.

Ada negeri yang masih belum mengharamkan penjualan vape. Apa pandangan CAP?
Kami amat kecewa. Beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan negeri-negeri lain masih menimbang dan berbincang dengan industri vape.

Untuk apa tunggu lagi? Adakah kita lebih pentingkan keuntu­ngan industri daripada kesihatan anak bangsa?

Enam negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang sudah melarangnya. Yang lain mesti ikut segera.

CAP juga pernah menggesa agar institusi raja-raja Melayu campur tangan dalam isu ini. Mengapa langkah itu perlu?
Ya, kami memohon campur tangan institusi raja-raja kerana isu ini bukan lagi isu perniagaan tetapi isu moral dan nyawa.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan soko­ngan penuh terhadap usaha mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara, dengan mengambil kira kesan bahaya terhadap kesihatan awam dan masa depan generasi muda.

Baginda turut membangkitkan kebimbangan terhadap masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia dan menggesa penguatkuasaan le­bih ketat bagi memastikan undang-undang sedia ada memberi impak yang lebih besar.

Baginda bertitah, tidak ada gunanya mempunyai pelbagai undang-undang dan hukuman berat bagi kesalahan dadah jika penguatkuasaan masih lemah, membolehkan dadah mudah diperoleh di negara ini. Kami mahu titah itu didengari dan dihormati oleh semua kerajaan negeri.

Berdasarkan pemantauan CAP, sejauh mana seriusnya ketagihan vape dalam kala­ngan murid?
Situasi pengambilan vape ketika ini sangat serius. Dalam ceramah kami di sekolah, murid-murid sekolah rendah sudah boleh sebut nama-nama perisa vape.

Ada pelajar perempuan yang kini lebih meminati budaya vape berbanding lelaki dan sanggup berhabis duit poket untuk membeli vape berwarna-warni di kedai runcit termasuk secara online.

Malah, ada dalam kalangan pelajar mengakui sendiri yang mereka sekadar mahu mencuba dengan mengambil vape milik abang atau bapa yang ditinggalkan di atas meja di rumah.

Bukan setakat itu, ada kanak-kanak memaklumkan yang mereka lebih tertarik dengan kepulan asap vape berbanding rokok.

Lebih membimbangkan, trend baharu dipanggil ‘vape zombie’ mula menular, iaitu cecair vape yang dicampur bahan sintetik memberi kesan halusinasi. Ini bukan lagi gaya hidup moden, ini budaya dadah.

Ada dakwaan bahawa la­rangan keseluruhan vape akan menjejaskan industri tempatan dan pekerjaan. Apa reaksi CAP?
Kesihatan dan masa depan generasi muda lebih penting dari­pada keuntungan jangka pendek. Kita tidak boleh melin­dungi industri yang merosakkan anak bangsa.

Kalau Singapura boleh anggap vape sebagai ‘isu dadah’ dan mengetatkan undang-undang­, kenapa Malaysia berlembut?

Jika kita terus menangguh, beribu-ribu penagih dadah baharu akan memenuhi pusat pemulihan dalam masa beberapa tahun.

Adakah vape boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian masalah sosial dalam kala­ngan murid sekolah?
Beberapa masalah sosial wujud akibat daripada pengambilan vape. Ada murid menghisap vape sebelum memasuki kelas atau bermula sesi pembelajaran.

Malah ada pelajar yang menghisap vape pada waktu pagi dan tidak mahu lagi mengambil sarapan. Ketika ini, sarapan pagi bagi murid ini adalah cecair vape.

Walaupun pihak sekolah mengharamkan vape di dalam kawasan sekolah, tetapi mereka pandai membawa masuk vape. Malah masa kini kita nampak ada murid menghisap vape di surau.

Mereka turut dikesan menggunakan taktik menyembunyikan peranti itu di bahagian kan­cing lengan panjang dan poket seluar, celah pakaian dalam bagi perempuan, celah stoking, kasut sekolah dan celah helaian buku teks serta di stor kosong dalam kawasan sekolah.

Justeru, CAP juga turut me­rayu kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas permasalah ini dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di negara ini.

Apakah tindakan konkrit yang dicadangkan CAP kepada kerajaan?
Pertama, haramkan penjualan dan penggunaan vape secara total. Kedua, hukuman berat kepada pengeluar dan penjual termasuk hukuman penjara lama dan sebatan.

Ketiga, kempen pendidikan di sekolah mesti disertai dengan penguatkuasaan ketat. Tiada gunanya ceramah jika murid masih boleh beli vape di luar pagar sekolah dan keempat, KKM mesti berhenti berbincang dengan pihak industri vape.

CAP pernah memuji beberapa langkah kerajaan seperti pengenaan cukai dan larangan penjualan. Adakah ia mencukupi?
Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan cukai ke atas produk tembakau, vape dan alkohol yang dibentang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kami menyokong sepenuh­nya langkah kerajaan itu dalam usaha membendung peningkatan pe­nyakit tidak berjangkit (NCD) dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat yang boleh mengundang pelbagai pe­nyakit kronik seperti kanser.

Kita mencadangkan agar cukai itu dinamakan sebagai ‘cukai kanser’ bagi memberi peringatan jelas kepada masyarakat tentang bahaya produk terbabit terhadap kesihatan.

Dengan adanya cukai ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kadar penggunaan produk tembakau, vape dan alkohol, malah memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius dalam menangani krisis kesihatan melibatkan NCD.

Akhir sekali, apakah mesej utama CAP kepada kerajaan dan masyarakat?
Masa untuk bertindak bukan esok, tetapi hari ini. Jangan biar­kan generasi muda menjadi ­mangsa eksperimen industri vape. Kita mesti berani membuat keputusan demi kesihatan dan masa depan mereka.

Setiap nyawa terlalu berharga untuk dijadikan bahan dagangan. Vape adalah racun, dadah dan kerajaan mesti mengharamkannya segera. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN