JIKA sebelum ini kita mengenali Sunway Pyramid, Sunway, Selangor sebagai destinasi beli-belah dan hiburan keluarga, kini pusat itu melangkah ke tahap baharu dengan pembukaan sebuah taman tema indoor, Bomb Battle yang menjanjikan pengalaman permainan fizikal paling imersif di negara ini.
Dengan keluasan 3,050 meter persegi, taman tema itu direka seperti taman tema mini dengan pelbagai cabaran berpaksikan misi, permainan gaya rancangan televisyen serta aktiviti menguji kecekapan dan semangat berpasukan.
Lebih menarik, tempat itu memperkenalkan tarikan dari Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Gel Blaster, sekali gus menjadikan Bomb Battle sebagai satu-satunya pengedar eksklusif untuk tarikan tersebut di luar AS.

Pengasas Bomb Battle, Datin Sheeran Tee memberitahu, dia berbangga dapat memperkenalkan tarikan baharu itu yang membawa lebih banyak permainan menarik buat rakyat Malaysia.
“Tarikan utama adalah Gel Blaster Nexus (arena menembak interaktif menggunakan ‘gel blaster’ iaitu sejenis penembak yang mengeluarkan peluru kecil daripada gel lembut).
“Tarikan ini menawarkan keseimbangan sempurna antara keseronokan dan intensiti, sekali gus mewujudkan pengalaman taktikal yang terasa nyata, namun tetap menyeronokkan.
“Dengan pelbagai mod permainan yang direka untuk orang dewasa dan kanak-kanak, ia memperkenalkan dimensi baharu dalam hiburan interaktif,” katanya.
Di Bomb Battle, pengunjung boleh merasai pengalaman bermain di pelbagai ruangan menarik termasuk Escape Rooms, Paint Bombs, Floor is Lava, Gel Blaster, Arcade Mania, Axe Throwing dan banyak lagi.
Setiap tarikan direka untuk memberikan pengalaman bermain yang interaktif.
Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, Bomb Battle penting untuk membuktikan bahawa usahawan Malaysia mampu mengambil inspirasi daripada trend global dan menggabungkannya dengan kreativiti tempatan bagi menghasilkan sesuatu yang cukup menarik.

“Tourism Malaysia berbangga untuk menyokong usaha ini dan akan aktif mempromosikan Bomb Battle. Kami akan pastikan tarikan ini menjadi destinasi wajib dikunjungi oleh setiap pelancong.
“Lebih penting lagi, Bomb Battle merupakan sebahagian daripada gerakan yang lebih besar. Di seluruh negara, kita dapat lihat semakin banyak syarikat tempatan yang berinovasi dalam bidang pelancongan.
“Inisiatif-inisiatif ini dapat memperkukuhkan penawaran pelancongan di Malaysia dan membantu negara kita menonjol di peringkat global. Apabila pelancong datang ke sini, mereka bukan sekadar melawat mercu tanda, malah dapat menyertai aktiviti, menyelami budaya dan merasai pengalaman baharu,” katanya.














