fbpx
Semua pihak diseru lebih serius menangani stigma terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar. GAMBAR JANAAN AI

Penyakit mental bukan lagi isu sampingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKOLAH dan institusi pengajian tinggi (IPT) sering dilihat sebagai medan utama pembentukan modal insan yang berkualiti dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

Namun, di sebalik keghairahan mengejar kecemerlangan akademik, tersembunyi sebuah realiti yang sering terpinggir iaitu isu kesihatan mental pelajar yang semakin membimbangkan.

Pelbagai kajian menunjukkan peningkatan kes kemurungan, keresahan dan tekanan dalam kalangan mereka hingga menyebabkan kes kematian.

Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2023, masalah kesihatan mental pelajar sekolah dan universiti meningkat dua kali ganda daripada 7.9 peratus iaitu seramai 424,000 orang pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus (922,318) pada 2023.

Statistik ini menunjukkan isu berkenaan perlu mendapat perhatian daripada semua pihak kerana mula menjadi trend yang amat membimbangkan.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, terdapat pelbagai faktor menjurus kepada keadaan tersebut.

“Tekanan akademik bukan satu-satunya beban yang perlu dihadapi oleh pelajar malah mereka turut dibebani dengan cabaran kewangan, konflik hubungan, kesunyian dan kerisauan terhadap masa depan.

“Semua perkara tersebut membuatkan pelajar terdedah kepada kemerosotan kesihatan mental.

“Tidak dapat dinafikan pelajar masih memilih untuk ‘bertahan tanpa suara’ walaupun dalam era modenisasi masa kini sudah mula terbuka membincangkan tentang isu kesihatan mental,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah Shazli Ezzat, kecenderungan ini amat membimbangkan kerana pelajar terpaksa menanggung tekanan emosi secara bersendirian.

Ujarnya, mereka kebiasaannya enggan mendapatkan bantuan profesional atas beberapa faktor seperti stigma sosial, kurangnya sokongan dan tanggapan bahawa ‘mengadu’ itu satu kelemahan.

“Kebanyakan mereka memilih untuk memendam rasa, mengurus kesakitan emosi secara bersendirian sehinggalah tekanan itu memuncak menjadi krisis yang tidak dapat di atasi oleh diri mereka.

“Situasi ini menuntut satu pendekatan yang lebih menyeluruh daripada seluruh komuniti sekolah atau kampus yang mana pentingnya mempunyai kefahaman serta empati di dalam diri setiap orang,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi & Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad turut bersetuju dengan pandangan itu.

Jelasnya, semua pihak diseru agar lebih serius menangani stigma terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Hal ini selepas insiden tragik melibatkan seorang pelajar perempuan maut akibat ditikam rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah di Bandar Utama di Selangor awal minggu ini.

“Semua pihak harus membuka mata tentang kepentingan pengesanan awal tekanan emosi dan kemurungan dalam kalangan pelajar.

“Kesihatan mental bukan lagi isu pinggiran. Pelajar hari ini berdepan tekanan akademik, beban harapan ibu bapa serta kurangnya ruang untuk meluah perasaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN