GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025.
Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, mereka yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat atau RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi individu.
“Peniaga juga boleh dikompaun sehingga RM250,000 (syarikat) dan RM50,000 (individu),” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan pematuhan SHMMP di Pasaraya TF Value Mart, di sini hari ini.
Menurutnya, peniaga turut diwajibkan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, dan kegagalan berbuat demikian boleh mengundang denda hingga RM20,000 bagi syarikat dan RM10,000 bagi individu.
Pemeriksaan hari ini melibatkan 15 pegawai penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Daerah serta Tanah Gombak.
“Secara keseluruhannya, tahap pematuhan di premis ini adalah baik dan kita berharap peniaga lain turut mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 5,158 pemeriksaan dilakukan sejak tahun lalu dan 98 kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk gagal mempamerkan tanda harga khas dan menjual melebihi harga ditetapkan.
KPDN Selangor turut menggerakkan seramai 207 pegawai penguat kuasa bagi memastikan harga dan bekalan barangan di negeri ini kekal stabil sepanjang musim perayaan. – KOSMO! ONLINE