fbpx
Gambar hiasan.

KPKT teliti cadangan penanaman cip mikro, pemandulan anjing peliharaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cadangan berhubung penanaman cip mikro dan pemandulan anjing sebagai penetapan syarat bagi pelesenan anjing peliharaan memerlukan penelitian yang terperinci.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penelitian itu terutama dalam aspek perundangan, kemudahan veterinar serta penerimaan komuniti.

Justeru, katanya, cadangan itu memerlukan kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar selaku agensi teknikal yang mempunyai autoriti dan kepakaran.

“Penanaman cip mikro adalah pemasangan secara suntikan cip mikro ke atas anjing yang mempunyai pemilik dan perlu didaftarkan bersama-sama nama pemilik.

“Pemandulan pula merupakan langkah pencegahan jangka panjang bagi mengawal pembiakan anjing tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung langkah untuk mengawal dan mengurangkan populasi anjing liar yang mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam khususnya kanak-kanak.

Terdahulu, Aiman Athirah berkata, KPKT berpandangan bahawa undang-undang dan peraturan sedia ada adalah mencukupi dan memadai serta tiada keperluan untuk menggubal akta baharu.

Bagaimanapun, katanya, KPKT terus berusaha memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu berkaitan anjing terbiar.

Jelas beliau, bermula tahun 2024, KPKT telah menganjurkan Kempen Pengurusan Anjing Terbiar yang bertujuan memperkasa kesedaran masyarakat dan memupuk sikap pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.

Selain itu, kata beliau, KPKT menyalurkan peruntukan RM180,000 pada tahun 2024 dan RM130,000 pada tahun 2025 kepada PBT yang terlibat untuk menjalankan aktiviti berkaitan.

Kata beliau, ia melibatkan operasi penangkapan anjing terbiar di kawasan yang sering terima aduan penduduk dan pelesenan anjing secara aktif di kawasan operasi.

“Pemberian diskaun atau rebat bagi program pemandulan, vaksinasi serta pemeriksaan kesihatan haiwan peliharaan. Mempromosikan program anjing angkat.

“Hebahan kepentingan sikap pemilikan haiwan yang bertanggungjawab melalui taklimat, poster, risalah dan media sosial.

“Taklimat oleh PBT dan lain-lain agensi tentang pelesenan anjing, risiko penyakit rabies, kepentingan vaksinasi serta kembiri dan penganjuran program bersama komuniti setempat,” katanya.

Kata beliau, bagi tahun 2024, PBT menerima sebanyak 37,538 aduan kacau ganggu anjing terbiar dan sebanyak 15,815 jumlah operasi telah dilaksanakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI