Bukan sekadar tidak membenarkan Nina keluar ke kedai runcit atau bekerja secara online, suaminya juga bertindak mengawal password telefon bimbit Nina dan sering menukarnya sehingga Nina sukar menghubungi keluarga sendiri.- Gambar hiasan

Suami kuat cemburu sampai ‘jaga’ password telefon bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA serik kenal dengan orang seperti itu. Seumur hidup, belum pernah lagi saya jumpa manusia sebegitu.”

Itu mukadimah yang keluar dari mulut Nina (bukan nama sebenar) tatkala berkongsi dengan K-Wanita mengenai sisi gelap hidupnya sebelum ini.

Hampir tiga tahun bercerai, anak kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu memberitahu, dia ditakdirkan berjodoh dengan seorang lelaki hasil perkenalan di media sosial.

Dua tahun mengenali hati budi masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk melangkah ke alam rumah tangga sebagai pasangan suami isteri setelah saling mencintai.

“Suami sangat sayangkan saya. Orangnya sangat simple (ringkas). Dia ada perniagaan peruncitan sendiri, namun 10 tahun lebih muda dari saya. Selepas berkahwin, saya ikut dia pindah ke ibu kota.

“Ketika itu, saya bekerja sebagai pembantu am di sebuah agensi kerajaan, namun terpaksa meletakkan jawatan kerana mahu ikut suami berpindah.

“Suami juga memang dari awal perkenalan tidak mahu saya bekerja. Dia mahu saya uruskan rumah tangga sepenuhnya,” katanya.

Meneruskan cerita, wanita yang kini berusia awal 40-an itu memberitahu, pada mulanya, dia agak bosan tinggal di rumah kerana sudah terbiasa bekerja mencari pendapatan.

Selepas enam bulan berkahwin dan tidak berbuat apa-apa, dia meminta izin suaminya untuk bekerja dari rumah dengan berniaga produk milik orang lain secara atas talian.

“Saya ada memberitahu suami niat untuk bekerja dari rumah, namun tidak menyangka dia berkeras tidak izinkan saya kerja.

“Dia risau sekiranya saya kenal dengan mana-mana pembeli atau pembekal serta peniaga lelaki dalam platform itu.

“Saya agak pelik kerana dia terfikir sampai ke tahap itu. Sebab niat saya cuma mahu hilangkan bosan dan ada pendapatan sendiri,” katanya.

Lebih membuatkan Nina hairan, suaminya juga tidak benarkan dia keluar rumah seorang diri, waima ke kedai runcit atau kedai serbaneka terdekat.

Ketegasan suaminya bermula selepas Nina meminta izin untuk bekerja dari rumah sebelum itu.

“Saya ada bertanyakan suami mengenai faktor dia berbuat demikian, jawapannya sebab tidak suka dan cemburu.

“Saya terkejut dan langsung tak sangka dengan jawapannya. Sebab cemburu, saya mahu pergi kedai beli barang dapur untuk memasak pun tak boleh.

“Disebabkan itu, saya ikutkan sahaja ‘arahannya’ dan langsung tidak keluar rumah jika tidak bersamanya,” katanya.

Cerita Nina, dia juga tidak dibenarkan mempunyai akaun media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook.

Suaminya takut kalau-kalau Nina kenal mana-mana lelaki dan berlaku curang di belakangnya.

Akui Nina, tidak sekadar itu, password (kata kunci) telefon bimbit miliknya juga sentiasa ditukar oleh suami sehingga menyukarkan dia menghubungi ahli keluarga di kampung.

“Saya tidak tahu kenapa suami jadi begitu. Sepanjang saya kenal selama lebih dua tahun, dia tidak pernah cemburu sampai tahap itu.

“Itu bukan sifat semula jadinya. Saya jadi stres kerana hidup dikongkong. Apa yang dia tahu cuma mahu saya ada dekat rumah dan ikut cakapnya.

“Saya juga ada hati dan perasaan. Bila ditanya, dia memang akui sebab cemburu dan terlalu sayangkan saya. Namun pada saya, itu bukan cara betul menyayangi seorang isteri.

“Kadangkala, saya rasa macam ayam yang dibela. Beri makan minum cukup, tetapi hanya duduk di dalam reban yang berbumbung saja,” ujar Nina.

Selepas hampir tiga tahun hidup ‘terseksa’ sehinggakan untuk bertemu keluarga dan adik-beradik pun susah, Nina nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah dengan bantuan salah seorang adik ipar perempuannya.

Jelasnya, segala bebanan yang dihadapi hanya diketahui oleh adik iparnya itu kerana dia sering berkunjung ke kediaman mereka dan merasakan ada sesuatu tidak kena.

Bagi Nina, cukuplah beberapa tahun bersuamikan lelaki kuat cemburu tanpa sebab dan ‘psiko’ seperti itu.

Biarpun Nina masih terkenangkan detik-detik menyakitkan itu, namun kini hidupnya lebih bebas dan tenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN