PETALING JAYA – Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) membuat keputusan untuk berpisah dengan pengendali Belanda, Patrick Kluivert selepas gagal membantu negara itu mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026.
Menerusi kenyataan ringkas, PSSI mengesahkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama walaupun Kluivert dilantik menjadi pengendali baharu Indonesia pada Januari lepas.
“Selepas melakukan perbincangan, kedua-dua pihak sepakat untuk menamatkan kontrak secara bersama,” menurut kenyataan PSSI hari ini.
Selepas bersara sebagai pemain pada 2008, Kluivert lebih banyak memainkan peranan sebagai penolong jurulatih terutamanya ketika bersama Belanda meraih tempat ketiga Piala Dunia 2014.
Kemudian, Kluivert melatih Curacao, dilantik Pengarah Bola Sepak Paris Saint-Germain, menjadi penolong jurulatih Cameroon kepada Clarence Seedorf, Pengarah Akademi Barcelona dan seterusnya beliau mengendalikan kelab Turkiye, Adana Demirspor.
Namun, hasrat Kluivert untuk membantu Sang Garuda yang mendambakan slot automatik ke Piala Dunia 2026 tidak kesampaian selepas terkandas di pusingan keempat peringkat kelayakan.
Indonesia terpaksa akur apabila tewas kepada jaguh Asia Barat, Iraq dan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan B. – AGENSI