PAK BARA yang terletak dalam daerah Satun, Thailand asalnya hanya sebuah perkampungan nelayan sunyi. Namanya dikatakan berasal daripada istilah setempat yang merujuk kepada api atau bara yang menjadi penanda arah pelaut pada zaman dahulu.
Kedudukan strategik Pak Bara di pesisir Laut Andaman menjadikannya pelabuhan semula jadi sejak berabad-abad lamanya. Ia merupakan satu tempat persinggahan dagangan dari Satun hingga ke Perlis dan Langkawi, Kedah.
Seiring masa, Pak Bara membangun menjadi pintu masuk ke kepulauan Tarutao dan Koh Lipe. Pada era 1970-an, kerajaan Thailand mula membangunkan kemudahan jeti di sini untuk menyokong aktiviti pelancongan.
Namun, di sebalik tarikan pelancong ke pulau tropika ini, satu komuniti lain mula menjadikan Pak Bara sebagai pengkalan tetap iaitu geng-geng pemancing laut dalam dari Malaysia.
Awal Ogos lalu, satu rombongan memancing ke lokasi ini telah dianjurkan oleh Muhammad Redzuan Mohamed atau Wan.
Trip pancing
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pak Bara bermula dengan menaiki bas yang disewa khas.
Seramai 20 orang pemancing telah menyertai rombongan ini.
Dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa selama enam jam untuk ke sempadan di Wang Kelian, Perlis.

Pak Bara, Thailand.
Setelah melalui imigresen, perjalanan ke wilayah Satun, Thailand disambut dengan landskap sawah menghijau, pohon kelapa yang melambai dan rumah-rumah kayu kampung sederhana.
Perjalanan itu sahaja mengambil masa sekitar dua jam dari sempadan hingga ke jeti Pak Bara.
Walaupun mengharungi perjalanan agak memenatkan, namun itu bukan penghalang buat pemancing yang menyertai rombongan.
Pertandingan pancing mini
Dalam trip ini, Wan sempat menganjurkan satu pertandingan pancing mini antara ahli trip.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk dua buah bot. Satu bot disertai seramai 10 orang yang telah dibahagikan ahlinya mengikut sistem undian.
Bot nombor 1, di kemudi oleh Tekong Abdullah Pian Sakul, manakala bot nombor 2 dikemudi Tekong Ali.
Umpan udang hidup sebanyak 200 ekor, tamban dan kembung sebanyak lapan kilogram (kg) disediakan untuk setiap bot.
Selain umpan yang disediakan, umpan-umpan hidup lain akan ditangkap di unjam-unjam yang terletak di dalam perjalanan menuju ke lokasi memancing.
Perjalanan menuju ke lokasi pertama berhampiran sempadan Andaman mengambil masa sembilan jam dari jeti.
Setelah mengharungi ombak dan alun, akhirnya bot sampai di lokasi pertama yang dipanggil oleh orang tempatan sebagai Nokhiaw pada pukul 1 pagi.
Walaupun permukaan laut agak bergelora, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat kesemua pemancing.
Di lokasi ini, banyak ikan kategori ‘bersisik’ dinaikkan, antaranya ikan jenahak, kerapu dan siakap merah. Tidak terkecuali juga ikan-ikan spesies pelagik seperti ebek dan cupak dengan kaedah pancing dasar.
Rata-rata kedalaman dasar di sini adalah antara 60 sehingga 80 meter (m), jadi peserta menggunakan batu ladung seberat 300 gram (g) sehingga 1kg bagi memastikan umpan sampai ke dasar.
Koh Adang
Hari kedua, bot terpaksa berpindah ke perairan Koh Adang untuk berlindung disebabkan dilanda
angin kuat.
Di sini pula, ikan barracuda menjadi pengacau dengan memutuskan perambut.
Nasib agak baik kerana bebeÂrapa ekor tenggiri berjaya menjadi pengubat luka apabila ramai yang bertukar daripada perambut mono ke wayar setelah hampir separuh hari dibuli barracuda.
Di hari ketiga, kedua-dua bot turun ke Koh Rawi sebelum berlabuh seketika di Koh Tarutao untuk mengisi bekalan air bersih.
Mengikut sejarah, Koh Tarutoa asalnya merupakan sebuah ‘penjara’ pulau yang menempatkan tahanan politik dan penjenayah pada dekad 30-40an.

Ia juga merupakan sebahagian daripada pulau yang terletak dalam Taman Negara Tarutao, dan pulau ini sebenarnya terletak berhampiran sempadan Perlis.
Para peserta mengambil kesempatan untuk berehat dan mandi di Koh Turatoa.
Setelah selesai semua urusan, bot menuju ke Koh Adang untuk meneruskan aktiviti memancing, sebelum pulang ke darat pada keesokan harinya pada pukul 4 pagi.
Sejurus tiba di jeti, ikan-ikan yang telah ditag dipilih untuk pemenang.
Pemenang
Tempat pertama untuk bot 1 dimenangi oleh Zack dengan ikan ebek seberat 3.6kg, tempat kedua pula milik Sahuddin (ikan ebek, 3.4kg), manakala tempat ketiga dirangkul Asri (ikan ebek, 2.4kg).
Untuk bot 2, tempat pertama dimenangi oleh Rajendran yang menaikkan ikan pari seberat 100 kilogram, tempat kedua Hairul (ikan tenggiri, 10.3kg) dan tempat ketiga oleh Mejar Sementa (pari, 8.9kg).
Selain hadiah tempat pertama sehingga ketiga, Wan selaku penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah. Selesai sesi pembahagian hadiah dan makan tengah hari, kesemua peserta menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur.














