
Prof. Madya Dr. Syakir Amir Ab. Rahman
Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) akan menjadi antara inisiatif dan program pelancongan terbesar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan pelbagai sumber kakayaan yang dimiliki Malaysia merangkumi alam semula jadi, keunikan warisan dan budaya, bangunan pencakar langit serta keramahan masyarakatnya, ia akan lebih meyakinkan pelancong asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.
Bagi memastikan kelancaran dan kejayaan TMM2026 ini, semua pemegang taruh termasuk masyarakat tempatan perlu turut memainkan peranan penting, bukan hanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semata-mata.
Sebelum pandemik Covid-19, industri pelancongan menyumbang hampir 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara. Dengan pelaksanaan kempen TMM2026 ini, Malaysia berpeluang untuk memulihkan dan mengukuhkan kembali kedudukan ini.
Ketibaan pelancong antarabangsa akan merancakkan permintaan terhadap perkhidmatan seperti pengangkutan, makanan dan minuman, perhotelan serta hiburan.
Sebagai contoh, bandar pelancongan negara seperti Langkawi, Melaka dan George Town telah membuktikan bagaimana tumpuan pelancongan boleh menyuntik pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan hasil jualan dan penciptaan peluang pekerjaan.
Selain itu, pertumbuhan sektor kraf tangan dan cenderamata seperti kraft tangan manik Sabah, tenunan pua kumbu Sarawak, batik Terengganu dan songket Pahang akan menerima permintaan tinggi, sekaligus memelihara warisan sambil menjana ekonomi.
TMM2026 juga memberikan kesan makro kepada ekonomi negara, sekali gus menyediakan banyak peluang keusahawanan di peringkat akar umbi khususnya di luar bandar yang terlibat sama dalam aktiviti pelancongan.
Sektor inap desa dengan aktiviti kampung-stay seperti di Kundasang, Kampung Morten dan Kampung Pulai telah menunjukkan bagaimana komuniti boleh memanfaatkan pelancongan untuk menjana pendapatan secara langsung.
Seramai 830,000 pelancong telah direkodkan pada tahun 2024 dalam aktiviti kampung stay telah direkodkan yang berjaya menjana pendapatan kira-kira RM54 juta.
Peningkatan jumlah pelancong juga memberi peluang kepada peniaga makanan jalanan, seperti penjaja laksa Penang, nasi kerabu di Kota Bharu atau cendol di Melaka, untuk mengembangkan perniagaan mereka.
TMM2026 juga membuka ruang luas dalam memperkukuh diplomasi budaya Malaysia. Pelancongan tidak sekadar menjual tempat menarik, tetapi juga pengalaman dan nilai-nilai masyarakat.
Keunikan budaya pelbagai kaum di Malaysia seperti perayaan Thaipusam, Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Kaamatan mampu memikat pelancong yang ingin merasai keunikan kepelbagaian ini dalam suasana aman.
Program budaya seperti Festival Gendang Sarawak, Festival Layang-Layang Pasir Gudang, dan pertunjukan kebudayaan di Istana Budaya boleh dijadikan platform memperkenal seni budaya kepada dunia.
Keberhasilan TMM2026 juga mencerminkan imej negara yang bersih, teratur dan mesra pelancong. Ini menuntut tahap profesionalisme tinggi dalam kalangan pemain industri dari petugas kaunter di lapangan terbang, hingga ke pemandu pelancong.
Walaupun TMM2026 telah diumumkan secara rasmi dan pelbagai perancangan telah dirangka oleh kerajaan, kejayaannya amat bergantung kepada sokongan dan penglibatan seluruh masyarakat.
Namun, beberapa isu utama masih membelenggu usaha ini, terutamanya dari sudut kesedaran awam dan sikap masyarakat.
Salah satu isu paling ketara ialah kurangnya pengetahuan umum mengenai TMM2026, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan belia.
Ramai yang masih tidak mengetahui tentang pelaksanaan kempen ini kerana promosi yang dilakukan tidak menyeluruh dan kurang menembusi media sosial atau platform yang sering digunakan oleh rakyat biasa.
Kempen lebih tertumpu kepada majlis pelancaran rasmi, forum industri, dan taklimat dalaman. Sebagai contoh, pelajar-pelajar di kampung atau institusi pendidikan yang tidak berkaitan dengan program pelancongan mungkin langsung tidak mendapat pendedahan tentang peluang dan faedah yang boleh diraih melalui TMM2026.
Hal ini menyebabkan potensi pelancongan komuniti tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana tiada tindakan susulan daripada penduduk setempat. Selain itu, sikap ambil tidak peduli dalam kalangan masyarakat juga menyumbang kepada kelemahan sokongan terhadap kempen TMM2026 ini.
Ramai menganggap pelancongan hanya urusan kerajaan atau syarikat pelancongan semata-mata. Akibatnya, mereka tidak memainkan peranan sebagai hos kepada pelancong yang datang. Kurangnya inisiatif komuniti turut menjadi penghalang kepada pembangunan pelancongan setempat. Banyak kawasan yang mempunyai tarikan sejarah, budaya dan alam semula jadi seperti kampung tradisional di Negeri Sembilan, dusun buah-buahan di Perak atau kawasan sawah di Kedah tidak dimajukan, kerana masyarakat tidak melihatnya sebagai aset pelancongan.
Tanpa sokongan agensi tempatan atau bimbingan, komuniti sukar memulakan usaha pelancongan berasaskan komuniti seperti inap desa, program budaya, atau lawatan pertanian (agrotourism).
Di samping itu, isu budaya dan etika sosial juga memberi kesan besar terhadap imej negara di mata pelancong. Tingkah laku masyarakat termasuk cara berpakaian, bahasa yang digunakan, serta sikap terhadap pelancong memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelawat.
Pelancong mengharapkan layanan yang sopan, keramahan, serta persekitaran yang selamat dan selesa. Contoh seperti di Pasar Seni atau di kawasan pelancongan di Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa pelancong amat menghargai pengalaman yang tulen, mesra dan sopan santun daripada rakyat tempatan di sana.
Jika masyarakat tempatan tidak bersedia menyesuaikan sikap dan etika, imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra akan terjejas.
Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kempen TMM2026 ini melalui pelbagai peranan. Antaranya adalah peningkatan kesedaran dan ilmu pelancongan melibatkan agensi kerajaan, pusat komuniti, sekolah, masjid dan badan bukan kerajaan.
Kita juga perlu menjadi tuan rumah yang mesra dan proaktif selain sikap masyarakat tempatan yang mengutamakan kebersihan dan keselamatan kawasan pelancongan.
Selain itu, kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar seperti tidak membuang sampah sembarangan di pantai atau kawasan air terjun akan memastikan pelancong menikmati pengalaman yang selesa dan menyenangkan.
Seterusnya, promosi digital oleh masyarakat, khususnya golongan muda, boleh memberi impak besar. Penggunaan platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube untuk mempromosikan tempat menarik, makanan tradisional atau kisah budaya setempat akan menarik perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.
Prof. Madya Dr. Syakir Amir Ab. Rahman ialah Pensyarah
di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)














