fbpx
NOR HIDAYAH telah berjaya menawan beberapa puncak gunung di negara ini.

Nor Hidayah cari ketenangan di puncak gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI Nor Hidayah Mohamad Tajudin, mendaki bukan sekadar hobi, malah aktiviti itu satu perjalanan menemukan ketenangan diri menerusi keindahan alam.

Walaupun minatnya terhadap aktiviti lasak itu bermula agak lewat, namun semangat dan cintanya terhadap mendaki kini semakin membara.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Kedah itu berkata, dia meminati aktiviti mendaki sejak tahun 2022.

“Saya mula hiking pada tahun 2022. Waktu itu saya cuma ikut adik saya dan kawan-kawannya mendaki Bukit Tugu di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini saya lebih aktif dalam sukan larian,” kongsi wanita berusia 20-an itu yang kini menjadikan aktiviti hiking sebagai rutin.

Bermula sekadar mencuba, Nor Hidayah akhirnya jatuh cinta dengan aktiviti luar itu selepas menyaksikan sendiri keindahan alam dan perjalanan yang penuh cabaran.

Baginya, keindahan alam semula jadi cukup menenangkan minda.

“Keindahan alam dan pengalaman sepanjang pendakian membuatkan saya rasa tenang serta bebas.

“Setiap langkah mendaki memberi makna baharu dalam hidup saya,” katanya.

Ujar Nor Hidayah, tidak semua pendakian berjalan dengan lancar kerana dia masih mengingat detik mencemaskan sewaktu menawan Gunung Yong Belar di Kelantan.

Katanya, pendakian itu merupakan antara pengalaman paling mencabar yang tidak mungkin dilupakan.

“Ketika itu, kami sampai di puncak sekitar pukul 6 petang, tiba-tiba hujan lebat.

NOR HIDAYAH (depan, tiga dari kanan) akan mencari masa sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk mendaki bersama rakan-rakannya.

“Dengan angin kuat dan suhu sejuk, saya hampir terkena hipotermia. Hipotermia adalah keadaan apabila badan kehilangan haba lebih cepat daripada ia menghasilkan haba.

“Lebih mencemaskan, salah seorang rakan pendakian turut terkena hipotermia ketika kami menuruni gunung,” ceritanya.

Walaupun berdepan saat getir, namun Nor Hidayah dan rakannya berjaya mendapatkan bantuan melalui walkie-talkie, sebelum akhirnya tiba di tapak perkhemahan sekitar pukul 1 pagi.

Selain pengalaman mencemaskan itu, Nor Hidayah juga mengakui ada juga berdepan pengalaman mistik sepanjang mendaki.

Namun begitu, pengalaman buruk yang dilalui tidak memudarkan semangatnya untuk menjadikan aktiviti bermanfaat itu sebagai hobi.

Dalam sebulan, Nor Hidayah memaklumkan, dia akan mencari masa sekurang-kurangnya dua kali untuk mendaki terutama dengan rakan-rakan yang menetap di sekitar Pulau Pinang.

Baginya, hiking bukan sekadar aktiviti fizikal, malah menjadi terapi minda dan jiwa.

“Aktiviti ini bukan saja healing, malah melatih diri untuk hidup dalam kekurangan dan menghadapi cabaran. Ia juga cara yang sihat untuk menurunkan berat badan,” jelasnya.

Buat wanita lain yang masih ragu-ragu untuk mencuba, Nor Hidayah sempat menitipkan pesan ringkas, namun bermakna.

“Jangan takut untuk mula kerana jika dilihat, komuniti hiking di Malaysia semakin besar.

“Seperti saya sendiri, saya suka mendaki dalam kumpulan kerana sekiranya berlaku apa-apa kemalangan, mudah untuk mendapatkan pertolongan.

“Selain itu, pilih trek yang sesuai untuk pemula dan nikmati perjalanan. Setiap langkah di laluan mendaki adalah langkah menuju kekuatan diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN