fbpx
Zambry selepas majlis perasmian EU-ASEAN Policy Dialogue on Higher Education: Enhancing Talent and Skills Development Through Internationalisation di Hotel Pullman, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Malaysia sasar jadi hab pendidikan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab pendidikan utama di rantau ASEAN dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau itu selaras dengan usaha kerajaan memperkasa bakat dan kemahiran generasi muda melalui sistem pendidikan bertaraf dunia.

Katanya, pengantarabangsaan pendidikan kini menjadi keutamaan negara bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja kompeten di dalam negara, tetapi juga mampu bersaing di peringkat global.

“Malaysia mahu menjadi titik pertemuan pelajar dari seluruh rantau untuk belajar, berinovasi dan membina masa depan bersama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian EU-ASEAN Policy Dialogue on Higher Education: Enhancing Talent and Skills Development Through Internationalisation di Hotel Pullman, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai inklusif, inovatif dan mampan turut diterapkan dalam sistem pendidikan bagi memastikan peluang pembelajaran terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Selain menumpukan kepada pengajian tinggi, kerajaan turut memperluas pengantarabangsaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran digital bagi meningkatkan mobiliti pelajar serantau.

Malaysia juga mengetuai inisiatif ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang memberi peluang kepada pelajar ASEAN menikmati pertukaran akademik lebih tersusun dan inklusif.

Menurutnya, kolaborasi dengan Kesatuan Eropah (EU) dan negara ASEAN lain bakal memperkukuh pembangunan tenaga kerja masa depan terutama dalam bidang teknologi hijau, ekonomi kitaran dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, pembelajaran fleksibel seperti ‘micro-credentials’ dan pengiktirafan kemahiran rentas sempadan juga akan diperluas bagi memastikan akses pendidikan lebih mudah tanpa mengira lokasi.

“Pengantarabangsaan bukan sekadar menghantar pelajar ke luar negara, tetapi bagaimana kita menjadikan institusi dan kurikulum negara berfikiran global,” katanya.

Ketika ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 130,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pengajian tinggi paling pesat berkembang di Asia Tenggara.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI