Kisah warga asing berhijrah untuk mencari rezeki di Malaysia bukan cerita baharu. Bagi rakyat asing, terdapat 1,001 peluang pekerjaan di negara kita.
Asalkan dapat upah, mereka akan terima. Jumlahnya kecil atau besar, itu belakang kira. Yang penting, kalau ada peluang memang mereka akan sambar.
Salah satu sebab mengapa warga asing boleh bertahan di Malaysia adalah kerana sikap mereka yang rajin, melakukan satu-satu kerja itu dengan bersungguh-sungguh dan tidak memilih kerja.
Kadangkala kita merungut tentang sikap segelintir warga asing yang pengotor, mabuk, suka bergaduh, namun satu perkara yang tidak boleh kita nafikan mereka sangat rajin.
Oleh itu, tidak hairanlah ada majikan di negara ini yang ‘mesra’ pekerja asing. Alasan majikan, pekerja warga asing tidak mempunyai banyak kerenah.
Mereka boleh bekerja sepanjang minggu, tiada cuti kecemasan seperti nenek saudara atau ipar-duai meninggal dunia, tiada kucing kesayangan sakit yang perlu dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik veterinar serta 1,001 alasan lain untuk mengelak masuk kerja.
Ada teman-teman penulis mengakui selesa menggunakan khidmat warga asing dari kerja membaiki paip rosak sampailah mengubah suai rumah kerana mudah dirunding dan kos upah yang dianggap amat berpatutan, jauh lebih murah jika menggunakan khidmat kontraktor tempatan.
Bermula dengan makan gaji sebagai kuli, mereka mendaki sedikit demi sedikit dalam kerjaya menjadi penyelia sebelum bergelar tauke dan memiliki perniagaan sendiri. Upah yang diperoleh pula 100 peratus milik mereka.
Berada di negara orang, otak kena ligat dan jadi berani.
Oleh itu tidak hairanlah ada dalam kalangan rakyat asing yang mencari rezeki dengan mempertaruhkan nyawa orang lain sebagai pemandu haram atau prebet sapu seperti yang telah disiarkan menerusi laporan muka hadapan akhbar Kosmo! semalam.
Mereka ini yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah diupah oleh pihak tertentu selain ada juga menggunakan kenderaan atas nama isteri untuk membawa penumpang yang rata-ratanya terdiri daripada rakyat asing.
Bilangan penumpangnya bukan sedikit, malah daripada pelbagai warganegara.
Tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri dan juga para penumpang, malah pengguna jalan raya yang lain.
Bagaimana dengan nasib pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan apatah lagi kenderaan yang digunakan tiada perlindungan insurans, lebih malang lagi pemandunya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Oleh itu pihak berwajib perlu bertindak segera bukan setakat melaksanakan operasi di jalan raya, malah langkah sekatan dan pencegahan perlu bermula di pintu-pintu masuk utama negara, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jadi saya berharap tindakan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur baru-baru ini dilakukan secara berterusan, malah diperluaskan ke seluruh negara terutama di negeri pelancongan seperti Melaka.
Jangan sampai mereka hidup senang lenang mengaut untung, rakyat kita ‘sakit’ di negara sendiri.















