GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang pengarah syarikat membayar denda RM10,000 selepas mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap peguam wanita pada September lalu.
Tertuduh, Heng Hua Kian, 45, membuat pengaku itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 10 bulan bermula hari ini, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Hua Kian didakwa menghantar mesej mengancam akan mendatangkan kematian kepada mangsa berusia 36 tahun dengan niat menimbulkan ketakutan di Home Taste, Lebuh Macallum di sini pada pukul 5.33 petang, 29 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam Koay Chun Hian.
Semasa prosiding, Ahmad Danial mencadangkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perbuatan tersebut memberi kesan trauma mendalam kepada mangsa.
Bagaimanapun, Chun Hian merayu hukuman berbentuk denda minimum dikenakan memandangkan anak guamnya perlu menjaga ibu bapa termasuk tiga anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya dalam proses bercerai dan sedang menerima rawatan psikiatrik. Dia mengalami tekanan emosi yang berat ketika kejadian. Tertuduh turut memohon maaf kepada mangsa atas trauma yang dialaminya,” katanya. -KOSMO! ONLINE