MADRID – Carlos Sainz mendedahkan keyakinannya terhadap unit kuasa Mercedes menjadi faktor utama dia memilih menyertai pasukan Williams bermula musim ini biarpun dikaitkan dengan banyak lagi pasukan yang lebih baik.
Menjelang era peraturan baharu Formula Satu (F1) musim 2026, pemandu Sepanyol itu percaya Mercedes bakal tampil dengan enjin paling kompetitif apabila peraturan kuasa hibrid baharu diperkenalkan.
“Saya sangat yakin dengan enjin Mercedes. Sejujurnya, itulah antara sebab utama saya memilih Williams. Saya tahu Williams akan menggunakan enjin Mercedes dan segala maklumat yang saya terima setakat ini sangat positif,” katanya.
Peraturan baharu 2026 bakal memperkenalkan bahan api lestari serta rekaan semula sistem hibrid yang dijangka mengubah sepenuhnya susunan kuasa dalam grid F1, menjadikan kekuatan pembekal enjin menjadi faktor penentu kejuaraan.
Mercedes dijangka turut membekalkan enjin kepada McLaren dan Alpine, menjadikan empat pasukan dengan lapan jentera di grid sekali gus situasi itu menuntut Williams membina casis kompetitif untuk menyaingi pasukan gergasi lain.
“Tak kira sehebat mana pun enjin itu, casis tetap kunci utama. McLaren ketika ini jauh lebih kuat dan Aston Martin bersama Honda pasti kompetitif. Ferrari juga tak pernah hilang taring,” tegas Sainz.
Berdasarkan reputasi Mercedes sebagai pengeluar paling berjaya dalam era hibrid, keyakinan Sainz dilihat sebagai langkah strategik yang mungkin menghidupkan semula impian Williams untuk kembali ke barisan hadapan menjelang musim 2026. – AGENSI