KABUL – Tentera Taliban di Afghanistan melancarkan serangan bersenjata terhadap askar Pakistan di sepanjang sempadan semalam, dengan menuduh Islamabad melakukan serangan udara ke atas negaranya terlebih dahulu, kata pegawai kanan dari beberapa wilayah
Pada Khamis lalu, dua letupan kedengaran di ibu kota Afghanistan, Kabul dan satu lagi di tenggara negara itu.
Keesokan harinya, kementerian pertahanan yang dikendalikan Taliban menyalahkan serangan ke atas Pakistan, dengan menuduh jirannya itu melanggar kedaulatannya.
“Sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang dilakukan oleh tentera Pakistan ke atas Kabul, tentera Taliban terlibat dalam pertempuran hebat terhadap pasukan keselamatan Pakistan di pelbagai kawasan di sepanjang sempadan,” kata tentera Afghanistan dalam satu kenyataan.
Jurucakap kementerian pertahanan Taliban, Enayat Khowarazm memberitahu AFP bahawa ‘operasi yang berjaya’ itu berakhir pada tengah malam.
“Jika pihak lawan mengganggu wilayah Afghanistan sekali lagi, angkatan tentera kami bersedia untuk mempertahankan wilayah kami dan akan bertindak balas dengan tegas,” katanya.
Islamabad tidak mengesahkan bahawa ia berada di belakang serangan Khamis lalu tetapi menyeru Kabul untuk berhenti melindungi kumpulan Taliban Pakistan (TTP) di tanahnya.
TTP yang dilatih dalam pertempuran di Afghanistan dan didakwa berkongsi ideologi yang sama dengan Taliban Afghanistan, dituduh telah membunuh ratusan askar Pakistan sejak 2021. – AFP