PETALING JAYA – Seorang anak meluahkan rasa kecewa apabila ibunya mampu menyimpan wang sebanyak RM10,000 dengan cara meminta duit belanja bulanan di luar kemampuan anak-anak.
Menerusi perkongsian hantaran pengguna Threads, si anak mengaku terpaksa menipu jumlah gaji selepas sering dibandingkan dengan jiran sehingga dia terpaksa bekerja sambilan untuk menambah pendapatan.
“Bulan pertama kerja, mak terus tanya nak bagi dia (ibu) berapa. Saya cakap RM200, terus dibandingkan sampai terpaksa tambah lagi RM100.
“Setiap bulan, memang aku terdesak sampai terpaksa kerja part time (sambilan) tapi mak aku boleh ajak pergi Tabung Haji, nak simpan RM10,000. Bila pegawai itu tanya ‘berapa lama menyimpan’, dia jawab ‘tak sampai setahun’,” katanya.
Tambahnya, si ibu turut meminta anaknya untuk merancang kehamilan supaya tidak berkongsi duit belanja bulanan bersama pengasuh di kemudian hari.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut bersimpati dengannya dan berkongsi pengalaman yang sama.
“Ini bukannya nak mengungkit RM300 atau tidak ikhlas, tetapi mak yang tak hargai apa anaknya bagi,” kata Nurul.
“Kemampuan seseorang dengan komitmen yang ditanggung takkan sama. Masalah ini jadi kerana ibu minta berlebihan dan di luar kemampuan anak,” komen @Fasyrafm.
“Ibu bapa macam ini anggap anak wajib bagi walau macam mana pun, sebab mereka rasa berhak selepas sudah membesarkan anak-anak,” komen @Nuranisnazira.sukri.
“Terpaling bagi duit dekat mak ayah sila senyap, dia dah kata terpaksa part time. Mak yang sayang anak sebenarnya tak akan sibuk dengan duit anak,” kata Sufiah. – KOSMO! ONLINE