PUTRAJAYA – Beg dibawa Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Dewan Rakyat bagi pembentangan Belanjawan 2026 hari ini bukan sekadar aksesori rasmi, sebaliknya menyimpan kisah inspirasi tentang ketabahan, kelestarian dan keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
Panel tenunan pada Beg Belanjawan 2026 itu dihasilkan dengan penuh teliti oleh Anthony Liew You Chung, 37, seorang OKU dari Kuching yang bernaung di bawah Heart Treasures, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan latihan, terapi serta peluang pekerjaan bermakna kepada golongan muda berkeperluan khas.
Menghidap autisme dan masalah pendengaran, Anthony terkenal dengan kemahiran dalam seni dan kraf tangan.
Untuk beg bersejarah ini, beliau menggunakan sarung tangan nitril terpakai pengeluaran oleh Beyon Rubber, lalu menukarkannya menjadi panel tenunan unik yang melambangkan semangat pembaharuan dan kelestarian.
Menariknya, kain utama beg tersebut diperoleh daripada fabrik terbuang di sebuah kedai barangan terpakai di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.
Ia kemudiannya diproses penghasilannya dilaksanakan oleh Tanoti, perusahaan sosial berpusat di Kuching yang giat memperkasa penggiat seni kraf tempatan serta mengekalkan warisan pertukangan tangan.
Inisiatif itu bukan sahaja menyerlahkan komitmen kerajaan terhadap ekonomi sosial dan kelestarian alam, malah memperlihatkan usaha mengiktiraf sumbangan golongan OKU dalam pembangunan negara.
Anwar yang juga Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan Madani Keempat di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini. – KOSMO! ONLINE














