PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersinggung dengan segelintir pihak yang cuba menimbulkan polemik politik tidak sihat terhadap usaha perdamaian di Gaza.
Perdana Menteri berkata, beliau akui kesal kerana masih ada pihak yang mempertikai misi kemanusian yang disertai rakyat Malaysia ke Gaza baru-baru ini selain membantah kehadiran Presiden Amerik Syarikat, Donald Trump akhir bulan ini.
“Saya sedikit tersinggung apabila dalam usaha mencari perdamaian ini, masih ada pihak yang menimbulkan polemik politik tidak sihat.
“Begitu juga kepada anak-anak (aktivis) kita, bukan semua, tetapi mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk membantu rakyat Gaza.
“Kepada mereka yang telah berjuang dan membantu, kita ucapkan terima kasih dan teruskan doa. Inilah sikap yang sepatutnya ada dalam kalangan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11, di sini hari ini.
Katanya, tumpuan seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas kini adalah untuk mencari jalan memastikan proses perdamaian ini berjaya.
Justeru, Anwar mahu rakyat di negara ini perlu mengambil pendirian yang sama dan berdoa agar usaha (perdamaian) ini berhasil.
“Jadi, janganlah timbulkan bantahan terhadap lawatan atau apa jua usaha yang menuju ke arah perdamaian.
“Pada masa ini, kita turut merayu kepada semua negara, termasuk kepada Presiden Donald Trump, supaya memastikan perjanjian tersebut dapat dimeterai dan dilaksanakan.
“Ini juga adalah maklumat yang kita terima daripada Hamas sendiri. Kalau Hamas pun mahukan perdamaian, mengapa pula ada pihak yang mahu menimbulkan perbalahan?,” katanya.
Katanya, seluruh dunia mahu menghentikan penderitaan itu dahulu kerana rakyat Gaza telah lama menderita termasuk dibunuh, negara dijajah dan anak-anak serta wanita terus menjadi mangsa. – KOSMO! ONLINE