fbpx
ANUTIN tiba di Parlimen, Bangkok pada 29 September lalu. – AFP

Trump hantar surat kepada PM Thai, mahu pertikaian sempadan diselesaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Presiden Donald Trump menghantar surat kepada Perdana Menteri Anutin Charnviraku menyatakan bahawa beliau ingin melihat Thailand dan jirannya, Kemboja menyelesaikan ketegangan yang semakin memuncak di sempadan, kata Anutin hari ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Anutin menolak peranan berterusan Trump — yang mengejar Hadiah Nobel Keamanan — dalam sebarang rundingan lanjut antara Bangkok dan Phnom Penh bagi menyelesaikan pertikaian sempadan.

Ketegangan yang meletus Julai lalu bertukar menjadi pertempuran tentera paling berdarah antara Kemboja dan Thailand dalam tempoh beberapa dekad, mengakibatkan lebih 40 orang terbunuh dan memaksa 300,000 penduduk melarikan diri.

Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata — yang sebahagiannya diusahakan  oleh Trump — selepas pertempuran selama lima hari.

Sejak itu, Bangkok dan Phnom Penh saling melemparkan tuduhan pihak satu lagi melakukan pelanggaran gencatan senjata.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet kemudian berkata,  beliau mencalonkan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan dan  memuji Presiden Amerika Syarikat itu kerana melaksanakan  ‘diplomasi inovatif’  yang menamatkan pertempuran tentera.

“Presiden Trump  menghantar surat kepada saya menyatakan hasrat beliau untuk melihat Thailand dan Kemboja berunding untuk menyelesaikan konflik sempadan,” kata Anutin kepada pemberita  di Bangkok hari ini.

“Saya akan membalasnya dengan pendirian kami… dan jika Kemboja mengikutinya, Thailand bersedia untuk mengikut proses itu,” kata Anutin.

Beliau berkata,  Thailand bersedia untuk berunding jika Kemboja mengundurkan  senjata berat dari kawasan sempadan, membuang periuk api, membanteras penipu internet dan menempatkan semula warganegaranya dari tanah sempadan yang dianggap Thailand sebagai miliknya.

Kemboja berkata,  warganegaranya telah tinggal di kampung-kampung sempadan yang dipertikaikan sejak  selama beberapa dekad.

Semalam,  apabila ditanya sama ada pencalonan Trump oleh Kemboja untuk hadiah Nobel akan meletakkan Phnom Penh dalam kedudukan yang lebih baik, Anutin memberitahu pemberita: “Saya hanya mengambil berat tentang kepentingan Thailand, keselamatan rakyat Thai dan kedaulatan negara.

“Jika sesiapa memenangi hadiah itu… bagus untuk mereka, tetapi ia tidak berkaitan dengan apa yang akan dilakukan oleh Thailand,” katanya.

Walaupun Thailand dan Kemboja berkongsi sempadan, Anutin menambah, ‘pengantara berada di benua lain.’ – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI