PETALING JAYA – Pendakwah bebas yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan,32, mendakwa wujud unsur sabotaj melibatkan ejen perisikan Israel, Mossad, dalam kalangan sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan tersebut.
Menurutnya yang dikenali sebagai PU Rahmat, beberapa insiden kerosakan kapal yang berlaku sepanjang perjalanan misi itu menimbulkan tanda tanya dan disyaki mempunyai kaitan dengan penyusupan ejen musuh.
“Mesti kapal tu rosak. Asal naik satu kapal, kapal ataupun bot tu pasti rosak. Sampailah kita terpaksa buang dia ataupun gugurkan dia, barulah kapal-kapal tak rosak.
“Jadi memang wujud adanya Mossad dalam kalangan sukarelawan atau peserta,” katanya menerusi perkongsian live di akaun TikTok.
Terdahulu, beliau bersama kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di tanah air sekitar pukul 10.30 semalam.
Kerajaan juga akan mengajurkan satu majlis khas malam ini di Axiata Arena Bukit Jalil bagi meraikan sumbangan aktivis berkenaan. – KOSMO! ONLINE