fbpx
MENARA kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom di Texas dirakam ketika kerajaan AS ditutup Rabu minggu lalu. - AFP

Penutupan kerajaan AS jejas operasi penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Khidmat lebih 13,000 pengawal trafik udara berdepan gangguan yang mengancam operasi penerbangan di lapangan terbang-lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) susulan penutupan kerajaan yang masih berterusan, lapor laman berita Al Mayadeen kelmarin.

Kerajaan AS telah ditutup selama tujuh hari setakat kelmarin, susulan kebuntuan antara wakil-wakil rakyat Parti Demokrat dan Republikan berhubung rang undang-undang pembiayaan sementara. 

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberi amaran bahawa pengawal trafik udara tidak mencukupi di Menara Kawalan Trafik Udara Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago, pada malam kelmarin.

Menurut saluran berita CNN, di Nashville, negeri Tennessee, terlalu ramai pengawal tidak hadir bertugas sehingga fasiliti yang mengendalikan pesawat masuk dan keluar dari lapangan terbang terpaksa ditutup.

Sejak kerajaan ditutup pada Rabu minggu lalu, situasi sama berlaku di pejabat-pejabat FAA di seluruh negara dengan kesannya berantai kepada penerbangan hampir di semua lokasi.

Kemudahan pendaratan dan perlepasan untuk Houston, Newark dan Las Vegas mengalami kekurangan kakitangan sekurang-kurangnya untuk sebahagian daripada operasi malam kelmarin.

Dua lapangan terbang utama Houston, iaitu Hobby dan Lapangan Terbang Intercontinental George Bush dijangka mengalami kelewatan akibat kekurangan pengawal trafik udara.

Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago tidak mempunyai kapasiti penuh pengawal di menara kawalan trafik udara selama sembilan jam malam kelmarin. 

Lapangan terbang itu adalah salah satu yang paling sibuk di AS, dengan lebih 1,000 penerbangan sehari. 

Kelewatan penerbangan ke lapangan terbang itu pada awal malam kelmarin adalah sekitar 41 minit secara purata.

Di Nashville, kemudahan yang membantu pesawat masuk dan keluar dari lapangan terbang terpaksa ditutup selama lima jam malam kelmarin.

Penerbangan menuju ke lapangan terbang itu juga juga terpaksa menghubungi pusat kawalan trafik udara serantau di Memphis untuk memasuki ruang udara. Kelewatan penerbangan menuju ke Nashville dilaporkan selama dua jam malam kelmarin.

Masalah serupa turut berlaku Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Hollywood Burbank di California, di mana keseluruhan menara itu terpaksa ditutup.

Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy berkata, pengawal trafik udara masih belum terlepas menerima gaji mereka, tetapi bimbang sekiranya keadaan itu berlaku.

“Ini adalah mata pencarian mereka. Mereka bimbang  jika mereka tidak mendapat gaji, bagaimana mereka perlu membayar pinjaman perumahan? Bagaimana mahu membayar pinjaman kereta? Apa yang perlu mereka makan?” katanya kepada saluran berita Fox News.

Hari gaji berikutnya adalah pada 14 Oktober tetapi melainkan kerajaan dibuka semula sebelum itu, pengawal hanya akan dibayar untuk tempoh bekerja sebelum penutupan. 

Pejabat Belanjawan Kongres AS menganggarkan bahawa kira-kira 750,000 pekerja persekutuan mungkin diberhentikan buat sementara waktu setiap hari akibat penutupan kerajaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI