fbpx
KLINIK Kesihatan Peringgit merekodkan peningkatan konsultasi kes ILI sebanyak 3.8 peratus pada ME 40.

Kanak-kanak paling ramai kena influenza di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Tiga klinik kesihatan sentinel di negeri ini merekodkan peningkatan konsultasi kes Influenza Like Illness (ILI) yang lebih tinggi bagi Minggu Epidemiologi ke-40 (ME 40).

Klinik Kesihatan Peringgit dalam daerah Melaka Tengah dan Klinik Kesihatan Masjid Tanah di Alor Gajah masing-masing mencatat kadar tertinggi iaitu 17.5 peratus, berbanding 13.7 dan 14.1 peratus pada minggu sebelumnya.

Klinik Kesihatan Jasin turut menunjukkan pertambahan kes dengan kadar konsultasi 2.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-39 (ME 39).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, walaupun kadar jangkitan ILI meningkat, situasi di semua fasiliti kesihatan masih terkawal dan dipantau secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

“Orang ramai tidak perlu panik, namun dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak, terutamanya bagi kanak-kanak dan warga emas.

“Di Melaka, keadaan tidak serius. Influenza A ini kadang-kadang naik dan turun, kalau kita lihat ME 39 dia naik tetapi ME 40 dia turun, jadi keadaan masih dalam kawalan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ujarnya, kadar keseluruhan konsultasi kes ILI di negeri ini meningkat kepada 12.5 peratus bagi tempoh 28 September hingga 4 Oktober 2025, berbanding 10.4 peratus pada minggu sebelumnya.

Jelasnya, pertambahan itu membabitkan semua kumpulan umur dengan kadar bagi pesakit bawah 18 tahun meningkat kepada 34.2 peratus berbanding 29 peratus pada minggu lalu, manakala bagi umur 18 tahun ke atas mencatat 6.8 peratus berbanding 6.2 peratus.

“Dalam masa sama, satu wabak Influenza A dilaporkan di daerah Alor Gajah melibatkan sebuah sekolah, namun keadaan dilaporkan terkawal selepas tindakan segera diambil pihak kesihatan.

“Sekarang Kementerian Kesihatan (KKM) lebih kepada pendidikan murid. Siapa yang ada Influenza A dinasihatkan supaya berehat di rumah, kalau rasa kurang sihat, jangan datang ke sekolah jadi jangkitan dapat dikawal,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sehingga ME 40, sebanyak 160 kes circulating virus influenza dikesan di Melaka, membabitkan Virus Influenza A (H1N1) sebanyak 97 kes, Influenza A (H3N2) sebanyak 63 kes, Covid-19 sebanyak 122 kes dan Influenza B sebanyak 46 kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI