KUALA SELANGOR – Taktik lapuk seorang hos jualan secara langsung di aplikasi TikTok yang membuat laporan polis kononnya disamun bagi mengelak membayar denda kehilangan MyKad terbongkar selepas helahnya berjaya dikesan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, lelaki berusia 23 tahun itu membuat laporan kira-kira pukul 5.03 petang mendakwa disamun dua suspek menaiki motosikal di Jalan Pantai Remis, Jeram.
“Dia mendakwa kehilangan wang tunai, kad pengenalan dan kad bank serta telefon bimbit jenis IPhone 13. Namun hasil siasatan lanjut mendapati kejadian samun itu tidak pernah berlaku.
“Sebaliknya, laporan itu dibuat semata-mata untuk mendapatkan MyKad baharu tanpa perlu membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas kehilangan dokumen berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Azaharudin, siasatan turut mendapati barangan lain yang kononnya hilang itu termasuk telefon bimbit masih berada dalam simpanan lelaki itu.
Ujarnya, lelaki itu bekerja sebagai ‘live host’ dengan menjual pakaian dan tudung melalui aplikasi TikTok.
“Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE