SEPANG – Kepulangan 23 aktivis Malaysia ke tanah air disifatkan menjadi bukti kejayaan besar diplomasi dan rundingan dilakukan Malaysia serta lambang solidariti antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau melahirkan rasa syukur di atas kepulangan aktivis berkenaan sekali gus mencetus kelegaan dan kebanggaan di peringkat nasional.
“Kita amat bersyukur kepada Allah S.W.T atas kepulangan selamat rakyat kita ke tanah air malam ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi berterusan dilaksanakan pada peringkat tertinggi termasuk sokongan kepimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan,” katanya di sini, malam tadi.
Mohamad berkata, kerajaan Turkiye memainkan peranan penting dalam memudah cara pembebasan sukarelawan Malaysia yang telah ditahan secara tidak sah di Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.
“Mereka tak pergi ke Israel, mereka nak pergi ke Gaza tetapi dikepung tentera rejim zionis dan ditahan. Jadi, jangan dengar cakap-cakap orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE