PIEDMONT, CALIFORNIA – Seorang pelajar kolej meninggal dunia akibat terperangkap di dalam sebuah Tesla Cybertruck yang terbakar ketika pintu gagal dibuka, demikian menurut tuntutan mahkamah yang difailkan seperti laporan akhbar New York Post.
Krysta Michelle Tsukahara adalah seorang daripada tiga remaja yang maut apabila kereta futuristik itu merempuh pokok dan meletup di Piedmont, California, November tahun lalu.
Ibu bapanya, Carl dan Noelle Tsukahara memfailkan saman berhubung kematian mangsa di Mahkamah Tinggi Alameda County.
Mereka mendakwa, syarikat Tesla selama bertahun-tahun sedar akan pintu berkuasa baterinya boleh tersekat dalam kemalangan tetapi gagal bertindak.
“Syarikat ini bernilai AS$1 trilion (RM4.2 trilion), bagaimana anda boleh mengeluarkan mesin yang tidak selamat dalam banyak cara?” kata Carl.
Carl sebelum ini memberitahu akhbar The New York Times bahawa jika tidak begitu sukar untuk melarikan diri, anak perempuannya mungkin masih hidup.
Saman setebal 36 muka surat itu mendakwa Krysta yang duduk di tempat duduk belakang, terselamat daripada hentaman berkelajuan tinggi pada awalnya dengan hanya mengalami cedera ringan.
Namun, apabila bateri besar Cybertruck itu terbakar, dia tidak dapat melarikan diri daripada kebakaran ketika kenderaan itu kehilangan kuasa sekali gus melumpuhkan fungsi pintu elektroniknya. – AGENSI